Pelajar tingkatan enam maut digilis lori

Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang pelajar tingkatan enam maut akibat digilis sebuah lori di Kilometer 15 Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa, Nurul Atika Muchsolihin, 18, menunggang motosikal sendirian sebelum hilang kawalan dan terjatuh di jalan raya.

“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah Ulu Tiram ke arah Johor Jaya.

”Setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal di lorong kanan tiba-tiba telah hilang kawalan lalu terjatuh di bawah sebuah lori jenis Nissan yang berada di laluan tengah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata, akibat kejadian itu, pemandu lori yang merupakan lelaki berusia 71 tahun dipercayai tidak sempat mengelak lalu menggilis mangsa.

“Mangsa bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Johor Jaya 1 mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu atau menunggang di jalan raya terutama waktu cuaca hujan dan utamakan keselamatan,” katanya.

Artikel Berkaitan: