Misi bantuan tsunami kedua Januari ini

A
A
A

JAKARTA - INDONESIA . Kumpulan kedua bagi Misi Bantuan Kecemasan Tsunami Selat Sunda Serantau Muslim akan ke Banten, Indonesia bulan depan.

Ketua Misi kumpulan pertama, Shamsul Anwar M.Busra berkata, pihaknya telah mendapat senarai barangan keperluan yang diperlukan dalam tinjauan ketika misi pertama, Rabu lalu.

"Misi pertama kami Alhamdulillah mencapai sasaran walaupun misi itu terpaksa ditamatkan lebih awal susulan masalah keselamatan.

"Kita sudah ada senarai barangan keperluan diperlukan mangsa di pusat penempatan yang kita lawati jadi kumpulan kedua akan meneruskan misi kecemasan ini," katanya kepada Sinar Harian.

Kumpulan pertama yang terpaksa menamatkan misi lebih awal selepas kerajaan Indonesia mengeluarkan amaran status gunung berapi Anak Krakatau.

Kumpulan pertama telah menyerahkan bantuan bernilai RM10,000 dan kumpulan kedua dijangka akan mengumpulkan dana RM50,000.

Menurut Shamsul, rata-rata tempat penempatan mangsa yang dibuka penduduk itu serba kekurangan.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

"Keadaannya amat menyedihkan malah mereka kekurangan barangan bantuan seperti selimut, air bersih, makanan dan kanvas sebagai alas tidur atau khemah.

"Jadi, kita jangka sumbangan orang ramai yang sedang dikumpulkan akan dapat menampung keperluan kawasan-kawasan ini," katanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh melayari laman sesawang bantuankecemasan.com.

No Image Caption

Tsunami melanda Selat Sunda 22 Disember lalu dicetuskan letusan gunung berapi Anak Krakatau yang kini dijangka akan berlaku gelombang kedua susulan runtuhan dinding gunung berapi itu masih berbaki.

Setakat ini lebih 400 nyawa telah terkorban dan ribuan cedera dalam bencana itu.

Kumpulan pertama tiba di Banten, Indonesia 26 Disember lalu sebelum terpaksa menamatkan misi 27 Disember dan pulang ke Jakarta.