Pemandu lori babit nahas empat kenderaan direman

Keadaan lori yang melanggar mangsa turut terjunam dalam parit. Gambar kecil: Mohd Marzukhi - Foto ihsan pembaca
Keadaan lori yang melanggar mangsa turut terjunam dalam parit. Gambar kecil: Mohd Marzukhi - Foto ihsan pembaca
A
A
A

TELUK INTAN - Pemandu lori yang terbabit dalam nahas mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang wanita sarat mengandung di Kilometer 32 Jalan Langkap-Kampar, semalam direman selama dua hari, bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki berusia 36 tahun itu yang turut ditahan semalam didapati bebas daripada sebarang pengaruh alkohol mahupun dadah.

"Polis telah pun mendapatkan perintah reman selama dua hari dan kes kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Dalam nahas sekitar jam 10.30 pagi itu, Faridah Md Nayen, 38, yang mengandung 35 minggu meninggal dunia di Hospital Teluk Intan selepas kereta dinaiki bersama tiga yang lain terbabit dalam nahas empat kenderaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita hamil antara tiga maut nahas empat kenderaan

Kemalangan yang berlaku berhampiran Klinik Desa Tanjung Keramat itu turut mengorbankan pemandu kereta, Fuziyah Sarjuni, 62, dan penumpang, Farah Ain Salim, 29, sementara anak perempuan Farah berusia sembilan bulan mengalami kecederaan.

Nahas berlaku ketika lori dipandu suspek melanggar belakang kereta Suzuki Swift dinaiki mangsa, kedua-duanya dari arah Langkap menghala ke Kampar, ketika mangsa hendak membelok ke kanan memasuki simpang Klinik Desa Tanjung Keramat.

Akibat pelanggaran itu, kereta terbabit berpusing beberapa kali sebelum melanggar sebuah kereta pacuan empat roda jenis Ford Ranger dari arah bertentangan dan terhumban ke dalam parit.

Artikel Berkaitan:

Lori berkenaan pula kemudian melanggar sebuah kereta Proton Saga yang datang dari arah bertentangan sebelum turut terbabas ke dalam parit.