Demimu Abe Ngoh...

Raja Rasiah setia menjaga Abe Ngoh yang hanya terlantar di tempat tidurnya.
Raja Rasiah setia menjaga Abe Ngoh yang hanya terlantar di tempat tidurnya.
A
A
A

TANAH MERAH - Demi kelangsungan hidup dan rawatan anak yang kini terlantar akibat kemalangan lebih dua tahun lalu, seorang ibu sanggup membuka gerai makan di hadapan rumahnya bagi menampung kehidupan mereka.

Raja Rasiah Raja Ibrahim, 48, berkata dia yang juga mengalami masalah jantung dan kebas tangan kanan, tidak sanggup melihat keadaan anak keduanya, Mohd Amier Firdaus Mohd Hijazi, 18, atau lebih mesra disapa Abe Ngoh hanya mampu terlantar dan tidak mampu menguruskan diri.

Menurut Raja Rasiah, suaminya Mohd Hijazi Ismail, 56, juga tidak mampu melakukan kerja berat ekoran mengalami penyakit kencing manis kronik.

"Penglihatan suami kak juga, turut terjejas dan pandangannya semakin kabur disebabkan penyakitnya itu.

"Ekoran itu, kak nekad buka gerai makan di kawasan depan rumah dengan menjual mi celup dan masakan panas bagi menampung perbelanjaan keluarga sejak setahun lalu," katanya.

Menurut Raja Rasiah lagi, walaupun dia menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM 350 sebulan namun perbelanjaan untuk tampung kos beli susu khas dan lampin pakai buang untuk Abe Ngoh tidak mencukupi.

Gerai jualan mi celup yang diusahakan Raja Rasiah bagi menampung perbelanjaan keluarga.
Gerai jualan mi celup yang diusahakan Raja Rasiah bagi menampung perbelanjaan keluarga.

"Abe Ngoh perlu dijaga rapi, dia tidak boleh makan makanan keras. Hanya susu khas dan bubur menjadi hidangannya setiap hari.

Artikel Berkaitan:

"Sedih lihat keadaan Abe Ngoh, kalau dulu dia sihat, kini langsung tidak dapat bergerak dan hanya mampu membuka matanya tanpa bicara," katanya sebak.

Selain Abe Ngoh, Raja Rasiah mempunyai dua anak perempuan iaitu Putri Amiera Nurfarisya, 16, dan Putri Amiera Nurfatiha, 13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 2.

Namun, dua anak ini seperti memahami keadaan keluarganya dan kerap tidak ke sekolah kerana tidak mempunyai wang untuk membayar duit tambang van RM4 sehari.

“Kalau duit belanja mereka cukup, mereka berdua akan ke sekolah.

“ Tapi ada ketikanya saya terpaksa berhutang dengan saudara mara jika terdesak, dan ketika itu saya terpaksa tebalkan muka hanya kerana fikirkan keluarga saja,"katanya.

Raja Rasiah tidak pernah berhenti memohon doa agar dia mampu meneruskan hidup untuk menjaga anak-anaknya terutama Abe Ngoh.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi talian 011-17924802 atau menerusi akaun Bank Rakyat 221191118221 (Raja Rasiah Raja Ibrahim).