'ASP Wan' tipu tawar tender bekal makanan istana


Seorang lelaki yang dipercayai menyamar sebagai pegawai polis dari Istana Negara memperdaya sebelum mengambil barang kemas dan wang tunai mangsa dalam kejadian di ibu negara, Jumaat lalu.
Seorang lelaki yang dipercayai menyamar sebagai pegawai polis dari Istana Negara memperdaya sebelum mengambil barang kemas dan wang tunai mangsa dalam kejadian di ibu negara, Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki menyamar sebagai pegawai polis yang bertugas di Istana Negara bagi memperdaya peniaga dengan cara menawarkan tender membekalkan nasi lemak.

Itu modus operandi suspek yang datang kepada mangsa ketika wanita berusia 59 tahun terbabit sedang menjual nasi lemak di gerainya di Kampung Kubu Gajah Dalam, Sungai Buloh, Jumaat lalu.

Anak kepada mangsa yang mahu dikenali sebagai Hayati berkata, lelaki terbabit datang ke gerai ibunya kira-kira jam 9 pagi dengan memperkenalkan diri sebagai Asisten Superintendan (ASP) Wan dari Istana Negara.

"Awalnya lelaki itu telah membeli kesemua kuih dan nasi lemak berharga dalam RM15. Dia membayarnya sekeping RM50 tanpa meminta baki wang dengan alasan sebagai sedekah.

"Lelaki itu kemudian mula buka cerita dan memperkenalkan diri sebagai Asisten Superintendan Wan yang kononnya datang hendak mencari tender membekalkan makanan di istana dengan tawaran RM7 untuk sebungkus nasi lemak, manakala RM2 bagi tiga ketul kuih," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Hayati berkata, malah lelaki itu menjanjikan tawaran bayaran RM10,000 dalam tempoh sebulan.


Laporan polis yang dibuat mangsa di Balai Brickfields, Jumaat lalu.
Laporan polis yang dibuat mangsa di Balai Brickfields, Jumaat lalu.

Katanya, lelaki itu sempat mengambil nombor telefon ibu saya sebelum berjaya memujuk ibu, bapa serta makciknya untuk dibawa ke istana.

Artikel Berkaitan:

"Bapa saya awalnya berat hati nak memenuhi tawaran lelaki terbabit, tetapi dengan pujukan dia berjaya bawa mereka bertiga kononnya untuk ke istana.

"Perjalanan itu agak pelik sebab dia sering tersalah jalan dengan alasan tak biasa dengan laluan di Kuala Lumpur hingga mengambil masa kira-kira dua jam.

"Lelaki itu kemudian mengarahkan ibu bapa dan makcik saya meninggalkan barang kemas, wang tunai dan dokumen diri atas alasan barangan tersebut tak dibenarkan dibawa masuk ke dalam istana. Mereka terus menurut perintah sebelum ditinggalkan berhampiran kawasan istana," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, suspek terbabit menggunakan kenderaan jenis Honda Civic dengan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, semakan dengan pihak Istana Negara juga mengesahkan tiada wujud penama ASP Wan Faizul dari Bahagian Istana Negara.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek dan sekiranya orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222 atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Yeo Joo Boon di talian 016-5159755," katanya.