Kerajaan akan teliti cadangan tingkat had umur persaraan

Kula Segaran ditemui pemberita pada Kempen Tanam Pokok bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Taman Dr Seenivasagam hari ini.
Kula Segaran ditemui pemberita pada Kempen Tanam Pokok bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Taman Dr Seenivasagam hari ini.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Kerajaan sedang meneliti saranan yang dikemukakan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mencadangkan pemberian elaun kos sara hidup (COLA) bulanan kepada pekerja swasta serta meningkatkan had umur bersara kepada 65 tahun.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, perbincangan perkara itu telah dijalankan bersama Kementerian Kewangan (MOF) minggu lalu bagi mencari satu keputusan sebelum dibentangkan pada Belanjawan 2020 Oktober ini.

“Permintaan MTUC itu ditujukan kepada Kementerian Kewangan dan pada masa ini, kita telah berdialog bersama MOF dimana kita telah beri beberapa pandangan untuk diperhalusi.

“Perbincangan ini baru dimulakan, kita akan halusi bersama jawatankuasa-jawatankuasa berkaitan dengan melihat liabilitinya sebelum kerajaan buat satu-satu keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Kempen Tanam Pokok bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Taman Dr Seenivasagam di sini hari ini.

Menurutnya, peningkatan had umur persaraan daripada 60 tahun kepada 65 tahun juga turut dipertimbangkan dengan melihat langkah yang diambil oleh negara maju seperti Singapura.

“Singapura yang telah tingkatkan usia persaraan kepada 65 tahun, negara kita adalah ‘full employment’ maka ia boleh perhalusinya sebelum buat keputusan.

“Ramai yang tidak bekerja adalah tidak benar kerana kadar pengangguran negara adalah 3.3 peratus. Kita kekurangan pekerja hingga mendapatkan pekerja dari negara asing. Pengangguran tinggi berlaku kepada graduan dan anak muda,” katanya.

Semalam, MTUC dalam satu kenyataan menggesa kerajaan memperkenalkan pemberian COLA bulanan RM500 atau lebih kepada pekerja swasta dan ia tidak boleh ditangguhkan berikutan tekanan kos sara hidup yang kian meningkat.

Artikel Berkaitan:

MTUC juga melihat had umur persaraan harus dinaikkan kerana gaji rendah itu menyebabkan pekerja tidak memiliki simpanan mencukupi untuk menampung usia persaraan panjang hingga bergantung kepada ahli keluarga, masyarakat dan kerajaan.