Pembangkang gusar perpaduan makin goyah

 Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan kerisauan terhadap perpaduan antara kaum yang semakin goyah ketika Malaysia menyambut kemerdekaan yang ke-62.

Menurutnya, kegusaran tersebut susulan pentadbiran negara oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak lagi mencapai kesefahaman sehingga isu terbabit kian menghimpit rakyat.

"Bersyukur kerana kita dikurniakan Malaysia yang berbilang kaum, tinggi nilai budaya dan tinggi peradabannya, namun apa yang merisaukan adalah perpaduan di antara kita yang semakin goyah.

"Pentadbiran negara oleh pemimpin-pemimpin PH tidak lagi mencapai kesefahaman, justeru kian menghimpit rakyat," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Bera itu mengingatkan, bumi bertuah ini ialah hadiah daripada pejuang bangsa yang banyak berkorban untuk memberikan makna kepada generasi ketika ini sebagai ‘anak-anak merdeka’.

"Tanggal 31 Ogos 1957 adalah detik yang bersejarah buat negara di mana Tanah Melayu dan rakyatnya memperoleh kemerdekaan setelah dijajah beratus tahun lamanya. Perjalanan untuk mencapai kemerdekaan bukanlah mudah.

"Oleh itu, sebagai anak merdeka, kita wajib meneruskan kelangsungan perjuangan pahlawan-pahlawan negara demi menjaga serta membina negara ke arah yang lebih baik," ujarnya.

Beliau berkata, negara ini adalah kebanggaan rakyat Malaysia dan tidak seharusnya alpa terhadap penjajahan minda daripada pengaruh asing.

Artikel Berkaitan:

"Jangan tunduk kepada mereka yang cuba mengiktiraf musuh negara, komunis atau bintang tiga atau apa jua sekali pun untuk merobek perjuangan kita.

"Kitalah anak bangsa merdeka yang berdaulat. Kita bebas memacu negara berlandaskan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia bersama-sama menghayati erti kemerdekaan dan menyemai perasaan cintakan tanah air serta mengeratkan perpaduan.

"Ayuh, rakyat Malaysia! Kibarkanlah Jalur Gemilang dengan bangga," katanya.