Wan Azizah patut berkorban untuk suami, presiden

Hamidah Osman
Hamidah Osman
A
A
A

IPOH - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail harus berkorban dengan memberikan laluan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berada di dalam Kabinet.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, sebagai individu yang tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam parti, Wan Azizah sepatutnya melepaskan jawatan dalam Kabinet mengikut amalan biasa.

Menurutnya, pada kebiasaan ahli Kabinet yang dilantik terdiri daripada Ahli Parlimen yang mempunyai jawatan dalam parti apatah lagi seorang presiden yang harus diberikan tempat.

"Saya rasa eloklah Wan Azizah jadi isteri mithali dengan beri ruang kepada suaminya untuk berada di dalam Kabinet sekali gus menunjukkan contoh yang baik kepada isteri seluruh negara.

"Sebagai Presiden PKR, Anwar harus diberi ruang. Kalau tidak Wan Azizah, menteri Kabinet daripada PKR perlu berkorban untuk Anwar atau adakah Ahli Parlimen PKR yang berada di dalam Kabinet ini sudah tidak menghormati presiden," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri bahawa tiada jawatan kosong dalam Kabinet untuk diisi oleh Anwar setakat ini kerana tiada ahli Kabinet yang mahu melepaskan jawatan masing-masing untuk diberikan kepada Anwar.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Tiada jawatan kosong untuk Anwar'

Bagaimanapun, semalam Dr Mahathir meredakan ketegangan dengan memberitahu akan mengotakan janjinya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Saya letak jawatan, Anwar akan ganti: PM

Dalam pada itu, Hamidah berkata, Kabinet sepatutnya menunjukkan struktur betul yang ada sistem kerana seharusnya presiden parti komponen harus diberikan tempat di dalam pentadbiran kerajaan.

"Sudahlah ekonomi, sosial dan perpaduan huru-hara malah dalam Kabinet pun huru-hara sebab tidak wajar Wan Azizah sebagai seorang yang tiada jawatan dalam parti, duduk dalam Kabinet sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Kalau alasan presiden tak nak (jawatan dalam Kabinet), mungkin kita boleh terima tetapi alasan tidak ada orang nak melepaskan jawatan ini saya rasa pelik. Sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai kuasa melantik dan menggugurkan sesiapa, bukan bertanya siapa nak letak jawatan atau tak nak," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini jika tamat pemilihan di dalam parti pasti akan berlaku rombakan Kabinet bagi menghormati keputusan yang dibuat parti.

Katanya, namun kini perkara itu tidak lagi berlaku malah menjadi tanda tanya mengapa rombakan Kabinet tidak dilakukan.