Serangan udara UAE: Presiden Yaman tuntut UNSC buat sidang khas

 Abd-Rabbu Mansour Hadi
Abd-Rabbu Mansour Hadi
A
A
A

ADEN - Presiden Yaman, Abd-Rabbu Mansour Hadi, semalam menuntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengadakan sidang khas berhubung serangan udara dilancarkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terhadap tentera negara itu, lapor agensi berita Xinhua.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dibacakan bagi pihaknya, disiarkan rangkaian televisyen tempatan.

Selain itu, beliau turut menuduh UAE menyokong Majlis Peralihan Selatan (STC) yang melancarkan serangan terhadap pasukan kerajaan di bahagian selatan negara itu.

Presiden Hadi mengulangi gesaannya supaya Arab Saudi campur tangan bagi menghentikan tindakan UAE yang menyokong kumpulan militia melancarkan serangan udara terhadap tentera Yaman.

Awal bulan ini, pasukan STC merampas istana presiden di Aden selepas mengusir tentera kerajaan dan meluaskan penguasaan mereka ke kawasan lain di selatan.

Hadi berkata, tentera UAE melancarkan serangan udara ketika tentera Yaman bertindak menyekat kemaraan STC di wilayah selatan.

Beliau mengarahkan kerajaan mengambil semua langkah perlu untuk berdepan pencerobohan secara terang-terangan itu di samping berikrar merampas kembali Aden dari puak pemisah dan ibu kota Sanaa dari kawalan pemberontak Houthi.

Hampir keseluruhan kawasan Aden berada di bawah kawalan STC yang bersekutu dengan pasukan gabungan diketuai Saudi.

Artikel Berkaitan:

Dianggap sebagai ibu negara sementara Yaman, Aden menjadi kubu kerajaan yang disokong Saudi sejak 2015.

Yaman dicengkam perang saudara sejak akhir 2014 ketika Houthi menguasai banyak negeri dan merampas semua wilayah utara termasuk Sanaa. - Bernama