Bank Dunia kaji semula pinjaman kepada China

Sebuah kompleks di wilayah Xinjiang yang dipercayai menempatkan kem pendidikan semula. - Gambar AFP
Sebuah kompleks di wilayah Xinjiang yang dipercayai menempatkan kem pendidikan semula. - Gambar AFP
A
A
A

WASHINGTON - Bank Dunia semalam mengkaji semula pinjaman kepada China yang bertujuan menyediakan pendidikan vokasional kepada minoriti Islam Uighur.

Namun difahamkan tiada petunjuk dana tersebut digunakan untuk tujuan lain selain persekolahan.

Rabu lalu, majalah Foreign Policy melaporkan pinjaman AS$50 juta (RM210.9 juta) yang dipinjamkan Bank Dunia kepada China digunakan untuk membeli wayar berduri, pelancar gas dan perisai badan.

Namun bank terbabit berkata, kajian dua tahun kali sebelum ini tidak menunjukkan bukti salah guna.

"Tiada petunjuk bahawa sumber Bank Dunia yang disediakan untuk sekolah digunakan untuk tujuan lain selain yang dipersetujui mengikut terma projek.

"Bagaimanapun, berdasarkan dakwaan terkini, kami menjalankan kajian tambahan diketuai pasukan pakar. Sekiranya perlu, kami akan mengambil tindakan," kata kenyataan Bank Dunia.

Pinjaman itu diluluskan pada tahun 2015 untuk kegunaan sekolah vokasional bertujuan meningkatkan kehidupan etnik minoriti.

Layanan buruk China terhadap minoriti Islam Uighur di wilayah Xinjiang yang dikawal ketat semakin meraih perhatian global.

Artikel Berkaitan:

Lebih satu juta etnik minoriti Islam dilaporkan ditahan di kem pendidikan semula di Xinjiang.

China yang pada awalnya menafikan kewujudan kem tersebut mengaku menjalankan 'pusat pendidikan vokasional' yang kononnya bertujuan memerangi ekstremisme agama dan meningkatkan pekerjaan. - AFP