'Tinggalkan perkara buruk, gantikan dengan hal yang menyenangkan hati'

DR WAN SALIM
DR WAN SALIM
A
A
A

UMAT Islam perlu memahami ajaran Islam sebenar dan diaplikasikan dalam konteks yang betul agar terus istiqamah semasa proses penghijrahan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, agak sukar melakukan perubahan pada diri jika tiada dua asas berkenaan.

Justeru, beliau menyeru supaya masyarakat mengambil ibrah kesan penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Makkah ke Kota Madinah.

"Ia bukan sahaja membentuk negara bertamadun, tetapi juga mengubah masyarakat jahiliah kepada masyarakat madani yang bertamadun. Antara istiqamah hijrah ialah mengadakan perubahan daripada negatif kepada yang positif. Kalau kita boleh ubah, insya-ALLAH pada masa yang singkat kita boleh nikmati satu pembangunan yang menghidupkan tamadun seperti waktu silam yang gemilang itu," katanya kepada Sinar Islam.

HASSAN MAHMUD
HASSAN MAHMUD

Sementara itu, pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz berkongsi tiga langkah untuk melakukan penghijrahan yang sempurna.

Ujar agamawan itu, mereka yang mahu berhijrah perlu melakukan takholli iaitu mengosongkan jiwa daripada perkara-perkara yang tidak elok, menjauhi perbuatan terkutuk dan dosa. Ia ibarat kita membersihkan cawan.

Artikel Berkaitan:

"Selepas itu, mereka perlu melalui proses tajalli iaitu mula melakukan ibadah atau amalan tertentu seperti bersedekah dan sebagainya. Langkah kedua itu ibarat kita ambil air masukkan ke dalam cawan yang telah dibasuh tadi.

"Ketiga ialah proses tahalli iaitu merasai. Itulah proses yang mana kita minum air tadi, apakah rasanya? Jika manis dan sedap, biasanya kita akan mengulanginya. Begitulah juga amalan atau ibadah yang kita lakukan. Apabila rasa seronok, kita akan mengulang kembali," ujar beliau.

Kepada satu soalan, Hassan Mahmud berkata: "Hijrah bermakna kita meninggalkan benda yang buruk dan cari perkara yang baik. Jika melibatkan hubungan sesama manusia, tinggalkan perkara yang buruk seperti menyakiti hati orang dan gantikan dengan perkara yang menyenangkan hati orang.

"Kalau dengan ALLAH, tinggalkanlah larangan-Nya dan lakukan segala yang diperintahkan oleh-Nya. Lama-kelamaan, insya-ALLAH kita akan jadi orang yang baik," ujar beliau.