Perubahan cuaca punca jumlah sarang tebuan meningkat

Pihak bomba dari BBP Segamat sedang memusnahkan sarang tebuan sebaik menerima panggilan kecemasan daripada penduduk.
Pihak bomba dari BBP Segamat sedang memusnahkan sarang tebuan sebaik menerima panggilan kecemasan daripada penduduk.
A
A
A

SEGAMAT - Perubahan cuaca yang berlaku menjadi punca peningkatan jumlah sarang tebuan tanah di daerah ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hazim Abdul Razak berkata, cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini telah mengundang serangga berkenaan untuk berpindah ke kawasan lebih selamat bagi membina sarang mereka.

Menurutnya, sepanjang bulan ini, hampir 10 panggilan kecemasan diterima pihak bomba daripada penduduk memaklumkan kewujudan sarang tebuan dan lebah di sekitar kediaman mereka.

“Uniknya, spesis tebuan tanah bukan sahaja mampu membuat sarang baharu di atas tanah, namun di lokasi tinggi yang berada di luar kediaman dalam masa singkat.

“Tebuan tanah dan spesis lebah amat peka dengan ancaman perubahan persekitaran dan boleh berpindah serta-merta ke lokasi baharu yang dianggap selamat umpamanya atas penjuru luar kediaman dan lokasi berhampiran habitat asalnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, habitat asal sarang tebuan tanah dan lebah di sekitar belukar akan musnah terbakar akibat kesan cuaca panas melampau atau dibasahi hujan.

“Lebah boleh bertindak menyengat secara berkumpulan kepada pihak yang dianggap cuba untuk mengambil madu atau mengusik sarangnya.

“Pihak Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) dan agensi penyelamat lain umpamanya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mempunyai kepakaran terlatih bagi memusnahkan sarang spesis itu.

Artikel Berkaitan:

“Agensi terlatih turut memiliki peralatan memusnahkan sarang yang bersesuaian selain dilengkapi pakaian sut keselamatan bersesuaian,” katanya.

Mohd Hazim berkata, justeru pihak awam dinasihatkan agar meminta bantuan agensi penyelamat berkaitan dan profesional bagi tindakan memusnahkan sarang.