Kerajaan, pembangkang belum stabil

Shahrir Abdul Samad - Foto:Bernama
Shahrir Abdul Samad - Foto:Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Asas pentadbiran negara yang menyaksikan kesinambungan berkenaan penugasan kerajaan dan pembangkang masih dilihat belum stabil.

Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, kedua-dua pihak sama ada dari PH mahupun BN juga kekok dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab mereka kepada rakyat.

“Pemerintahan pemimpin PH masih gagal menjalankan peranan sebagai kerajaan berwibawa, banyak tindakan dan kenyataan mereka juga hanya menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.

"Begitu juga dengan kepimpinan BN, dimana wakil rakyat tidak tahu untuk bergerak sebagai pembangkang yang efektif kerana sudah terbiasa menjadi kerajaan sebelum ini.

"Masing-masing kekok dengan kedudukan baharu mereka sama ada sebagai kerajaan atau pembangkang dan ini merupakan ujian buat semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyempuranakan program Larian Tok Uban 2018 yang diadakan di Taman Suria, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Umno negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Ketua Pemuda Umno negeri, Mohd Hairi Mad Shah.

Shahrir berkata, tahun 2018 merupakan peristiwa kesedaran buat semua pihak khususnya rakyat negara ini berkenaan kesan terhadap pilihan yang dibuat kerana dikaburi penipuan.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu merujuk kepada kemenangan diraih PH adalah disebabkan janji pemimpin PH sebelum ini yang hanya berlandaskan sandiwara politik.

"Sebelum ini mereka mendakwa pelbagai perkara akan berlaku sekiranya kerajaan bertukar namun sehingga kini tiada apa perubahan yang berlaku.

"Contoh paling mudah adalah janji mereka berkenaan harga minyak yang akan diturunkan, sehingga kini itu masih tidak berlaku," katanya.