Misi kibar Jalur Gemilang di Gunung Tahan

Para peserta bergambar sebelum upacara pelepasan.
Para peserta bergambar sebelum upacara pelepasan.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 24 guru dari 22 sekolah di negeri ini bakal melakar sejarah mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Tahan, 31 Ogos nanti.

Ekspedisi Trans Tahan 2019 itu turut menampilkan kelainan apabila mereka berhasrat mengibarkan bendera sekolah masing-masing di puncak tertinggi Semenanjung Malaysia itu.

Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Pahang, Mohd Raauf Jali berkata, mereka akan menyempurnakan misi tersebut selama tujuh hari bermula hari ini dan dijangka tiba di puncak pada 31 Ogos, sebelum tamat pada 4 September.

Menurutnya, Trans Tahan 2019 merupakan program di bawah Kursus Pengajaran dan Pembelajaran Pengurusan Pendakian Gunung Tahan Jurulatih Pusat Kokurikulum.

"Objektif program ini adalah menyemarakkan kemerdekaan, bertujuan membina semangat patriotisme dan setia kawan kalangan guru-guru serta kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP).

"Mereka akan mulakan perjalanan ke Gunung Tahan hari ini bagi menyempurnakan misi menawan puncak berketinggian 2,187 tersebut. Tempoh pendakian dijangka selama tujuh hari dan pada 31 Ogos, Jalur Gemilang dan bendera sekolah masing-masing akan dikibarkan," katanya.

Mohd Raauf (tengah) turut menyampaikan amanat dan pesanan kepada guru guru yang terlibat pendakian.
Mohd Raauf (tengah) turut menyampaikan amanat dan pesanan kepada guru guru yang terlibat pendakian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada program pelepasan peserta Trans Tahan 2019 itu di Pejabat Pendidikan Negeri Pahang, Indera Mahkota di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Ekspedisi kelolaan Pusat Kokurikulum Sultan Haji Ahmad Shah, JPNP itu turut disertai wakil Pejabat Pendidikan Daerah.

Mohd Raauf menyempurnakan upacara pelepasan bagi pihak pengarah JPNP, Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus.

Sekolah-sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Simpai, Pekan; SK LKTP Tembangau 3, Kemayan; Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Rompin; SK Ibam, Muadzam Shah; SK Kedaik, Rompin; SMK Perantau Damai, Muadzam Shah; SK Lenjang, Kuala Lipis; SK Teruntum, Kuantan; SK Sinar Mutiara, Pekan dan SK Sg Karang, Kuantan.

Turut menjayakan program itu ialah SK Lepar, Kuantan; SK Seri Biram, Pekan; SK Muadzam Jaya, Muadzam Jaya; SK Gusai, Jerantut; SK Tasik Chini, Pekan; SMK Pontian Jaya, Rompin; SK Tekek, Rompin; SK LKTP Chini 1&4, Pekan; SK Sg Isap, Kuantan; SK Kg Pagi, Jerantut; SK Sri Mahkota, Kuantan; PPD Cameron Highland, Cameron Highland dan Pusat Kokurikulum Sultan Haji Ahmad Shah.