Larangan merokok: Tingkat pemantauan di lokasi terlibat

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU – Peraturan larangan merokok di restoran dan premis makanan yang bakal dikuat kuasa awal tahun depan mendapat reaksi positif pelbagai pihak.

Ahli Dewan Muda Johor, Onn Mahathir Md Nasir berpendapat, dari sudut positif sudah pasti langkah berkenaan dapat memberi keselesaan kepada para pelanggan terutamanya ibu yang mengandung dan anak-anak kecil.

Menurutnya, sebaliknya juga perlu diberi perhatian terhadap golongan perokok itu sendiri yang mana antara yang menjadi pembayar cukai terus kepada negara.

“Oleh itu, apabila langkah ini dikuatkuasakan, pasti golongan perokok berdepan dengan kekangan meneruskan aktiviti merokok mereka.

“Maka, perlu juga disediakan ruang tertentu seperti bilik khas di kawasan yang terlibat untuk memudahkan kepada golongan perokok ini,” katanya.

Onn Mahathir berkata, apa yang paling penting juga, golongan perokok juga perlu diberikan pendedahan dan bimbingan.

“Ini termasuklah tentang waktu yang boleh mereka merokok supaya mereka dapat mementingkan nilai dan adab terutama ketika bersama orang lain.

“Misalnya, kalau pada ketika itu terdapat anak kecil, warga emas dan ibu mengandung, maka janganlah merokok dahulu. Pilih waktu yang sesuai dan lihatlah siapa ada di sekeliling itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Onn Mahathir Md Nasir dan Siti Suhaila Othman
Onn Mahathir Md Nasir dan Siti Suhaila Othman

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Persatuan Penggerak Pengguna Johor (PPPJ), Siti Suhaila Othman berpendapat, penguatkuasaan tersebut merupakan salah yang sangat bagus diambil oleh pihak kerajaan.

“Ini kerana perkara ini melibatkan soal kesihatan yang perlu dititikberatkan terutamanya terhadap orang awam demi keselesaan para pengunjung di satu-satu tempat itu ketika menjamu selera di premis makanan atau restoran.

“Bagaimanapun, mohon Jabatan Kesihatan supaya meningkatkan pemantauan lokasi larangan merokok terutama di restoran 24 jam kerana kebiasaannya lokasi tersebut sudah menjadi kebiasaan kepada perokok tegar,” katanya.