Bersalamanlah sesama Muslim

AMALAN bersalaman ketika berjumpa sesama Muslim adalah antara akhlak yang mulia dan banyak fadilatnya.
AMALAN bersalaman ketika berjumpa sesama Muslim adalah antara akhlak yang mulia dan banyak fadilatnya.
A
A
A

MEMANG sudah menjadi amalan kita apabila bertemu kenalan atau saudara seagama ketika bertandang ke rumah mereka atau di tempat lain, pasti kita akan bersalaman.

Begitu juga apabila berpisah, sekali lagi tangan dihulur untuk bersalaman.

Ia bukan sekadar untuk mengeratkan silaturahim, bahkan kita sering bersalaman apabila ingin memulakan salam perkenalan dengan individu yang baharu dikenali.

Sesungguhnya, amalan bersalaman ketika berjumpa sesama Muslim adalah antara akhlak yang mulia.

Sunah berjabat tangan adalah dengan menggenggam tapak tangan kanan kita ke atas tapak tangan kanan saudara kita, sambil tersenyum memandang wajah mereka.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah dua orang Muslim yang bertemu kemudian saling berjabat tangan, kecuali dosa keduanya akan diampuni sebelum berpisah.” (Riwayat al-Tirmizi, Abu Dawud, Ibn Majah dan Ahmad)

Berdasarkan hadis itu, lihat betapa besarnya fadilat apabila kita berjabat tangan sesama Muslim.

Dengan berjabat tangan, ia mampu meredakan permusuhan dan kedengkian, memperteguhkan kasih sayang serta mendapat rahmat daripada ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

Bukan itu sahaja, dosa-dosa kita akan gugur sebagaimana gugurnya daun-daun kering pada musim kemarau.

Seperkara lagi, berjabat tangan juga merupakan amalan yang disyariatkan dan adab mulia para sahabat RA ketika mereka bertemu.

Antara amalan lain yang disunatkan semasa bersalaman ialah:

1. Memuji ALLAH SWT.

2. Mengucapkan istighfar.

3. Mendoakan.

4. Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa buah hadis baginda SAW.

Justeru, suburkanlah amalan berjabat tangan setiap kali bertemu saudara seagama kita.

Insya-ALLAH mudah-mudahan kita akan beroleh fadilat yang dijanjikan oleh-Nya.

(Sumber: Portal Rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)