Kebocoran maklumat pelanggan: JPDP hantar notis kepada Astro

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) akan menghantar notis penguatkuasaan kepada Astro dalam minggu ini berhubung isu kebocoran data peribadi pelanggan mereka.

Ketua Pengarah JPDP, Mazmalek Mohamad berkata, Astro wajib membalas persoalan yang dikemukakan JPDP melalui notis tersebut dalam tempoh 30 hari bermula dari tarikh notis itu dihantar.

"Notis ini akan memaklumkan kepada Astro mengenai sebab ia dikeluarkan. Ini adalah notis pertama yang kami keluarkan.

"Dalam masa 30 hari, apa sahaja langkah penambahbaikan yang dibuat di pihak Astro perlu dimaklumkan kepada JPDP secara terperinci," katanya di sini hari ini.

Notis penguatkuasaan Subseksyen 108 (8) di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 itu dikeluarkan selepas JPDP mengambil kira keperluan untuk mendapatkan jawapan yang lebih jelas daripada pihak Astro mengenai kebocoran data peribadi itu.

Beliau berkata, sebelum ini Astro memberikan respons mengenai kebocoran itu kepada JPDP melalui Borang Makluman Ketirisan (DBN), namun maklumat yang diberikan adalah secara am dan bukan terperinci.

"Data Breach Notification (DBN) ini adalah satu standard SOP yang kita perkenalkan untuk kita hantar kepada Astro. Astro perlu menjawab semua persoalan yang diutarakan di pihak saya. Kita dah bagi tempoh dua hari untuk jawab. Dari situ JPDP akan teliti." katanya.

Ditanya mengenai isu kebocoran data peribadi yang berlaku melibatkan beberapa organisasi sebelum ini, Mazmalek berkata, kebanyakannya berpunca daripada faktor dalaman.

Artikel Berkaitan:

"Daripada pemerhatian awal, bukan sahaja Astro, lain-lain kebocoran maklumat yang terjadi, kebanyakannya tidak mematuhi ataupun melanggar prinsip sekuriti. Dari segi Akta Perlindungan Peribadi 2010 ini kita ada tujuh prinsip.

"Prinsip yang kerap berlaku susulan daripada kebocoran ini adalah dalam konteks pematuhan prinsip keselamatan," katanya.

Pada Khamis lalu, Astro dalam satu kenyataan menyatakan pihaknya mengambil tindakan serta-merta menangani akses tanpa kebenaran yang membabitkan sekurang-kurangnya 0.2 peratus pelanggan syarikat itu.

Sejumlah 9,803 data peribadi pelanggan dianggarkan terlibat dengan kebocoran itu. - Bernama