Halfest Jakim 2019 sasar RM60 juta

Mujahid pada sidang akhbar mengenai Halfest Jakim 2019 di Kuala Lumpur hari ini. - FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Mujahid pada sidang akhbar mengenai Halfest Jakim 2019 di Kuala Lumpur hari ini. - FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ekspo Halal Terbesar Malaysia, Halal Fiesta Malaysia (Halfest) Jakim 2019 menyasarkan nilai jualan sebanyak RM60 juta dengan kehadiran lebih 80,000 pengunjung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pelbagai pengisian menarik yang diadakan sepanjang festival itu dijangka menarik ramai pengunjung sekali gus dapat meningkatkan nilai jualan berbanding pada penganjuran lalu.

Menurutnya, ini program yang besar di bawah kerajaan baharu.

"Kita mahu menunjukkan kita serius dalam menerajui industri halal ini sama ada di peringkat tempatan mahupun di peringkat antarabangsa," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini hari ini.

Menurutnya, program berskala besar itu bakal memberi impak kepada pemain industri halal tempatan.

"Program ini juga amat penting kerana salah satu perkara yang kita hadapi bagi mempromosikan persijilan halal ini ialah dalam kalangan pemain industri tempatan, penyertaan mereka dalam program persijilan halal agak rendah

"Apabila mereka tidak berdaftar dengan persijilan halal, pasaran mereka agak terbatas, kecil dan sedikit, tak dapat pergi lebih besar.

"Justeru, program ini akan membawa pemain industri di peringkat pertengahan yang sukar dapat pasaran mempelajari caranya sekali gus mengembangkan perniagaan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Halfest Jakim 2019 yang akan berlangsung di Pusat Pameran Mines (MIECC) pada 4 hingga 8 September bermula jam 10 pagi hingga 9 malam itu adalah sebahagian usaha kementerian di bawah inisiatif rahmah dijalankan Jakim dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)

Ia bagi memperkasakan industri halal secara berterusan dan sebagai satu usaha pembudayaan halal dalam kalangan rakyat, selain untuk mendidik pengguna mengenai kepentingan memilih dan menyokong produk halal.

Ekspo kali ini dijangka menerima penyertaan lebih 450 usahawan yang bakal mempamerkan pelbagai produk halal berkualiti tinggi kepada pengunjung dan antara sektor yang diketengahkan ialah makanan, minuman, perbankan Islam, takaful, pelaburan patuh syariah, pembungkusan makanan halal, katering, perkhidmatan status halal serta badan keusahawanan.

Halfest Jakim 2019 dijangka dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 5 September ini.