Jangan tukar status tanah pertanian: Sim Tze Tzin

Sim Tze Tzin
Sim Tze Tzin
A
A
A

LUMUT - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengingatkan semua kerajaan negeri agar tidak menukar status tanah pertanian di negeri masing-masing kepada kawasan perumahan atau perindustrian.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata, status tanah pertanian yang ada perlu dikekalkan supaya pengeluaran produk pertanian terus meningkat bagi menampung keperluan rakyat.

"Saya dapati banyak tanah pertanian senang-senang ditukar syarat, jadi saya menyeru kepada semua kerajaan negeri supaya jangan sesekali dengan secara senang menukar syarat tanah pertanian kepada tanah perindustrian atau perumahan.

"Tanah pertanian harus dikekalkan, kerajaan negeri perlu menjadikan ia sukar untuk ditukar," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Perasmian Bangunan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak di Seri Manjung hari ini.

Beliau turut mengulas laporan salah sebuah akhbar tempatan mengenai penyusutan kawasan sawah padi di beberapa lokasi di negara ini.

Menurutnya, tukar guna tanah pertanian kepada perumahan dan perindustrian merupakan antara punca utama penurunan hasil pengeluaran padi, sayur, buah-buahan dan barangan pertanian yang lain di negara ini.

"Misalnya kawasan jelapang padi, kerajaan sudah mewartakan beberapa kawasan padi kepada jelapang padi yang statusnya tidak boleh ditukar kepada mana-mana industri.

"Status jelapang padi itu adalah satu gerenti supaya tidak boleh dipindah milik atau ditukar untuk kegunaan lain yang dapat memastikan ia kekal menjadi tempat pengeluaran padi untuk negara," katanya.

Artikel Berkaitan: