Shorubber buka peluang pekerjaan di Perlis

Syed Faizuddin (tiga dari kanan) menerima cenderahati pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Shorubber (Malaysia) Sdn Bhd di Ballrom Hotel Seri Malaysia di sini.
Syed Faizuddin (tiga dari kanan) menerima cenderahati pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Shorubber (Malaysia) Sdn Bhd di Ballrom Hotel Seri Malaysia di sini.
A
A
A

KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berbesar hati kerana Showa Glove Japan telah memilih untuk menubuhkan Shorubber (Malaysia) Sdn Bhd sebagai pusat pelaburan terbesar mereka.

Baginda bertitah bahawa turut berbangga melihat perkembangan Shorubber dari awal penubuhannya dengan hanya sebuah bangunan dan kini telah berkembang pesat sejajar dengan perkembangan semasa.

Titah baginda, Shorubber merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi negeri ini di mana ia telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat Perlis.

"Saya berbangga melihat perkembangan Shorubber dari awal penubuhannya dengan hanya sebuah bangunan dan kini telah berkembang pesat sejajar dengan perkembangan semasa," titahnya ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Shorubber (Malaysia) Sdn Bhd di Ballrom Hotel Seri Malaysia di sini.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulam Showa Glove Japan, Shuji Kondo dan barisan Ahli Lembaga Pengarahnya serta Pengarah Urusan Shorubber (Malaysia) Sdn Bhd yang baharu, Imran Ibrahim.

Sementara itu, baginda turut bertitah bahawa dalam usaha untuk menjadikan Perlis sebagai sebuah negeri maju, kerjasama dan hubungan erat yang sedia terjalin di antara semua jabatan kerajaan dan agensi swasta di negeri ini hendaklah dapat dikekalkan dan diperhebatkan.

"Ini supaya kita dapat sama-sama membantu memacu dan membangunkan lagi ekonomi negeri kita yang tercinta ini, insya-ALLAH," titahnya.

Artikel Berkaitan:

Shorubber yang ditubuhkan pada 28 April 1989 adalah pusat pengeluaran sarung tangan terbesar bagi keseluruhan anak syarikat Showa Glove Japan dan mereka juga adalah antara syarikat pengeluar utama sarung tangan di dunia.

Untuk rekod, buat julung-julung kalinya, Showa Glove Japan melantik Imran iaitu seorang anak tempatan bagi menerajui anak syarikatnya di Malaysia bermula 1hb Julai baru-baru ini.