Selangor mampu kesan bencana lebih awal

Amirudin (empat dari kiri) pada penyerahan Buku Laporan Risiko Bencana di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.
Amirudin (empat dari kiri) pada penyerahan Buku Laporan Risiko Bencana di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor bakal memiliki pangkalan data lengkap berkaitan pengurusan risiko bencana seperti banjir atau tanah runtuh menjelang 2022.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri bersama kerjasama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Universiti Teknologi Malaysia dan Institut Penyelidikan Antarbangsa Sains Bencana (IRIDeS) telah memulakan kajian laporan risiko bencana selama empat tahun bermula Mac tahun lalu.

Menurutnya, data berkenaan membolehkan pencegahan dan persiapan awal dijalankan unit pengurusan bencana, khususnya dalam mendepani risiko itu.

"Sekiranya kita dapat membuat jangkaan awal tentang pergerakan tanah, kita boleh mengurangkan risiko, mengelak kematian berdasarkan tanda-tanda awal yang dikemukakan dalam kajian,” katanya.

Amirudin (tiga dari kanan) menerangkan keperluan buku laporan bencana bagi tujuan pencegahan dan langkah awal yang boleh diambil ketika berdepan banjir dan tanah runtuh.
Amirudin (tiga dari kanan) menerangkan keperluan buku laporan bencana bagi tujuan pencegahan dan langkah awal yang boleh diambil ketika berdepan banjir dan tanah runtuh.

Beliau berkata demikian pada Penyerahan Buku Laporan Risiko Bencana di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian; Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Ir Izham Hashim dan Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha.

Amirudin berkata, Selangor bertuah terpilih sebagai set ujian terhadap kajian pengesanan bencana itu, mendahului negeri-negeri lain dalam aspek pengurusan bencana.

“Kita cuba meningkatkan pengurusan bencana kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan berkaitan yang bukan hanya menangani bencana tetapi pencegahan awal yang boleh dibuat melalui data taburan hujan serta kitaran angin," katanya.

Artikel Berkaitan: