Al-Mas’udi pengembara bertaraf genius

PENGALAMAN Al-Mas'udi sepanjang pelayarannya diabadikan ke dalam karyanya yang menjadi rujukan ramai sehingga hari ini. -Gambar hiasan
PENGALAMAN Al-Mas'udi sepanjang pelayarannya diabadikan ke dalam karyanya yang menjadi rujukan ramai sehingga hari ini. -Gambar hiasan
A
A
A

SALAH seorang cendekiawan Islam yang mahsyur sekitar abad ke-10 Masihi ialah Al-Mas'udi. Pemilik nama lengkap Abu al-Hassan 'Ali bin Husayn bin 'Ali al-Mas'udi itu begitu terkenal sebagai seorang sejarawan dan pengembara Muslim.

Kemasyhurannya boleh dilihat apabila tokoh itu dikenali oleh masyarakat Arab sebagai Herodotus dan Pilinus kerana kepakarannya dalam membuat revolusi ilmu sejarah.

Anak kelahiran Baghdad, Iraq pada 283 Hijriah itu pada peringkat awalnya mendapat pendidikan langsung daripada orang tuanya. Apabila menginjak dewasa, Al-Mas'udi mula beralih kepada bidang sejarah, adat istiadat dan cara hidup di setiap negeri.

Cita-citanya yang begitu besar menyebabkan beliau terdorong untuk menjalankan penyelidikan. Bertitik tolak dari situ, beliau menceburi bidang pelayaran dan mengembara ke seluruh pelosok dunia.

Menelusuri rekod, al-Mas'udi mula belayar antara tahun 914 hingga 915 Masihi semasa ke Parsi. Kemudian, beliau ke India pada tahun berikutnya dan mengunjungi Kota Multan dan kota al-Mansurah (Mansura) sebelum kembali ke Parsi.

Di India, beliau melakukan penyelidikan tentang flora dan fauna. Antara yang menjadi bahan penyelidikannya ialah gajah, burung merak, burung kakak tua, buah oren, kelapa dan lain-lain.

Ilmuan hebat itu kemudian bersama pelayar-pelayar lain meneruskan pelayaran mereka. Kali ini, mereka melalui Bombay, Deccan dan Sri Lanka serta belayar ke Indo-China dan China. Ketika perjalanan pulang, al-Mas'udi singgah di Madagascar, Zanzibar, Oman hingga sampai di Basrah.

Sebaik tiba di Basrah, beliau tinggal seketika di situ. Di sinilah al-Mas'udi menulis karya agungnya yang bertajuk Muruj al-Dhabab. Ia sebenarnya berkisarkan pengalaman peribadi beliau di pelbagai negara.

Artikel Berkaitan:

Buku tersebut dikatakan diterbitkan di Paris pada 1861 hingga 1877 dan Kaherah pada 1303 Hijriah sebanyak sembilan jilid. Ia dianggap sebagai ensiklopedia kerana perbincangan dalam buku itu mencakupi kejadian manusia hingga ke zamannya.

Kuasai ilmu pelayaran

Bukan itu sahaja, banyak lagi hasil tulisan al-Mas'udi sepanjang perjalanannya apabila beliau singgah seketika di tempat-tempat tertentu.

Setiap kali belayar, beliau pasti akan memahat pengalamannya, selain membuat penyelidikan dan penulisan dalam pelbagai bidang seperti geografi, astronomi dan sejarah.

Namun, kehebatannya lebih terserlah dalam dunia pelayaran kerana al-Mas'udi antara penyumbang penting dalam ilmu berkenaan.

Hasil pengamatan dan penyelidikan beliau sepanjang pelayaran sebelum ini menyumbang pengetahuan tentang ilmu berkenaan. Masakan tidak, ilmuan Islam itu akan membuat catatan yang berguna sepanjang pelayarannya.

AL-MAS'UDI
AL-MAS'UDI

Antara sumbangan beliau adalah membantu menyelesaikan masalah yang timbul dalam kalangan pelaut dan ahli pelayaran yang keliru tentang nama-nama sungai yang mereka lalui ketika berlayar.

Ini kerana kelebihan yang ada padanya membolehkan beliau dapat memberikan gambaran yang jelas tentang laluan dan Teluk Parsi ke Laut China. Malah, al-Mas'udi juga berjaya menerangkan keadaan, lokasi dan aktiviti perdagangan bagi masyarakat atau pedagang di India ketika beliau ke sana pada 303 Hijriah.

Satu lagi kehebatan al-Mas'udi apabila beliau memberikan penjelasan bahawa semua laut merupakan satu kumpulan air besar yang bersambung. Beliaulah tokoh yang menyatakan Laut Hindi, Laut China, Laut Parsi, Laut Rom dan Laut Syria tidak berasingan.

Ensiklopedia geografi

Bukan itu sahaja, al-Mas'udi juga terkenal dengan ilmu geografi. Pengetahuannya itu merangkumi geografi manusia dan fizikal. Menurut G Sarton, kitab Muruj al-Dhabab yang dihasilkan al-Mas'udi disusun khas untuk membicarakan aspek geografi dan dianggap sebagai ensiklopedia geografi.

Pada masa sama, beliau menggabungkan geografi dengan disiplin sejarah untuk menjadikannya lebih menarik. Dalam kajian yang menggabungkan kedua-dua elemen itu, al-Mas'udi berjaya memberi beberapa gambaran tentang gempa bumi dan perairan Laut Mati.

Seperkara lagi, al-Mas'udi turut mengemukakan pendapat beliau bahawa faktor persekitaran iaitu iklim yang dipengaruhi oleh planet mempunyai pengaruh rapat dengan manusia.

Menurut pendapat yang masyhur, al-Mas'udi dilaporkan meninggal dunia pada tahun 345 Hijriah iaitu 1956 Masihi di Fustat, Mesir.

Meskipun sudah tiada, namun karya yang dihasilkan beliau sebenarnya banyak dijadikan sebagai sumber untuk mengetahui pandangan umum Muslim terhadap dunia terutama tentang geografi dan sejarah Islam.

Sumber: www.tayibah.com dan republika.co.id