Selangor, Universiti Tohoku lancar buku laporan risiko bencana

Loy Sian (tengah) menerima salinan buku laporan sebagai gimik pelancaran Majlis Penyerahan Buku Laporan daripada Universiti Tohoku kepada kerajaan negeri di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini hari ini.
Loy Sian (tengah) menerima salinan buku laporan sebagai gimik pelancaran Majlis Penyerahan Buku Laporan daripada Universiti Tohoku kepada kerajaan negeri di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri dengan kerjasama Universiti Tohoku, Jepun melancarkan buku Laporan Risiko Bencana: Memahami Risiko Tanah Runtuh dan Banjir Berasaskan Sains di Selangor.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, sebanyak 2,000 buku akan diedarkan secara percuma kepada pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan universiti untuk rujukan.

Menurutnya, tempoh empat tahun diambil bagi tujuan kajian dengan kos RM2.8 juta turut mendapat kerjasama daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Japan International Cooperation Agency (JICA).

"Ia adalah kerjasama pertama antara kerajaan negeri dengan sebuah universiti di Tokyo untuk tangani bencana. Jepun mempunyai kepakaran dalam bencana dan kita gunakan kelebihan itu mengikut kesesuaian situasi di Malaysia.

"Empat lokasi yang dikesan kerap dilanda banjir dan tanah runtuh iaitu Klang, Hulu Langat, Gombak dan Ampang disenaraikan dalam laporan buku itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Buku Laporan daripada Universiti Tohoku kepada kerajaan negeri di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini hari ini.

Beliau berharap, manfaat buku tersebut sampai kepada komuniti yang boleh diaplikasi ketika menghadapi bencana.

"Buku ini menerangkan secara jelas lokasi berisiko, tanda-tanda awal bencana dan langkah yang harus diambil ketika berhadapan situasi kecemasan.

Artikel Berkaitan:

"Pencegahan awal mengurangkan situasi panik dan mengurangkan kebergantungan awam dengan agensi keselamatan sepenuhnya sewaktu berdepan situasi itu," katanya.