Bantuan bukan untuk raih populariti

Amiruddin memakaikan baju sekolah kepada salah seorang penerima bantuan dalam Parlimen Kubang Pasu, hari ini.
Amiruddin memakaikan baju sekolah kepada salah seorang penerima bantuan dalam Parlimen Kubang Pasu, hari ini.
A
A
A

JITRA - Bantuan serta insentif yang diumumkan kerajaan baru-baru ini bukan semata-mata untuk mengambil hati rakyat atau mengejar populariti tetapi ia adalah tanggungjawab kerajaan bagi memenuhi keperluan rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah berkata, keputusan pemberian bantuan dan insentif berkenaan juga adalah hasil perbincangan semua pihak di Kabinet dan dilaksanakan setelah kerajaan mengambil kira kemampuan dari sudut kewangan.

"Dahulu sewaktu kita mengambil alih kerajaan, keadaan kewangan agak memeranjatkan. Jadi kita ambil keputusan untuk berhenti seketika.

"Tapi bila tiba akhir tahun, setelah kawalan dibuat dan sebagainya, kita melihat ada kemampuan dan keperluan untuk kita umumkan bantuan tertentu kepada rakyat terutamanya golongan yang berpendapatan rendah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Back To School Parlimen Kubang Pasu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kubang Pasu di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan sentiasa mendengar keluhan yang dibangkitkan rakyat dan mencari jalan membantu rakyat dan kaji semula kedudukan kewangan serta mengumumkannya apabila sudah mampu.

"Tak ada kena mengena sebab nak popular atau nak ambil hati rakyat, lagipun PRU lambat lagi," katanya dalam nada berseloroh.

Baru- baru ini kerajaan mengumumkan beberapa insentif dan bantuan kepada rakyat mulai Januari ini antaranya, Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (Risda), penetapan harga lantai getah sekerap kepada RM2.50 sekilogram dan Rebat Bil Elektrik berjumlah RM40 kepada 185,000 miskin tegar dan miskin yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem eKasih.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu,Amiruddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu menyampaikan bantuan barangan sekolah kepada 1,000 pelajar dalam parlimen berkenaan selain sumbangan kepada 76 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.