Kes bunuh warga emas: Polis dedah tiga wajah dikehendaki

Chee Khoon (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan wajah tiga individu yang dikehendaki bagi membantu kes pembunuhan seorang warga emas.
Chee Khoon (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan wajah tiga individu yang dikehendaki bagi membantu kes pembunuhan seorang warga emas.
A
A
A

SABAK BERNAM - Polis mendedahkan wajah tiga individu dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang wanita warga emas di Kampung Tebuk Pulai, di sini 12 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, tiga lelaki yang masih dikesan ialah E Venthaan, 27, K Vikkines Varan, 27 dan T Devaraju, 27.

"Ketiga-tiga lelaki ini diperlukan bagi membantu siasatan kes pembunuhan di Kampung Tebuk Pulai yang mengorbankan seorang wanita warga emas dan mencederakan cucu lelaki wanita itu menggunakan senjata tajam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.

Chee Khoon berkata, motif kejadian itu disebabkan dendam dan hutang antara suspek dan cucu wanita berkenaan.

Menurutnya, dua suspek berusia 36 dan 27 tahun sebelum ini ditahan pada 13 Ogos lalu dan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Selangor semalam.

Beliau berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung tiga suspek terbabit untuk menghubungi IPD Sabak Bernam di talian 03-32242222 (Inspektor Rodziah Ahmad Tajuddin) untuk membantu siasatan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan P Runkanaikey, 78, maut dibunuh manakala cucunya, N Silamparasan, 22, parah selepas diserang lima lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, Runkanaikey meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah kepala, telinga kanan, tangan dan lutut kiri, manakala Silamparasan parah di lengan tangan kiri, paha, betis kiri dan tapak kaki kanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Nenek maut, cucu parah diserang lima lelaki bertopeng

Artikel Berkaitan: