Pasukan Olimpik Khas Kedah terima penghargaan

Mukhriz (tengah) bergambar bersama pasukan bola sepak Persatuan Olimpik Khas Kedah selepas majlis penghargaan di Wisma Darul Aman hari ini.
Mukhriz (tengah) bergambar bersama pasukan bola sepak Persatuan Olimpik Khas Kedah selepas majlis penghargaan di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A
A

KEJAYAAN pasukan bola sepak Persatuan Olimpik Khas Kedah yang muncul johan pada Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Olimpik Istimewa 2019 di Chennai, India pada awal bulan Ogos lalu menerima penghargaan daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pasukan tersebut yang terdiri daripada lapan pemain telah mengharumkan nama Kedah dan Malaysia di persada antarabangsa apabila menewaskan Korea Selatan dengan keputusan 7-2 pada perlawanan akhir.

Menurutnya, kerajaan negeri menghargai jasa dan sumbangan semua atlet dalam lapangan sukan tidak kira normal mahupun kelainan upaya.

"Di atas kejayaan ini, Kerajaan Kedah bersetuju untuk memberikan ganjaran sebanyak RM500 setiap seorang. Bagi kami, baik atlet normal ataupun kelainan keupayaan sama sahaja sebab itulah diadakan majlis bagi meraikan kejayaan pasukan ini," katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman hari ini.

Sementara itu, pengurus pasukan, Dr Selvaraja Nadesan berkata, pihaknya menghargai usaha dan penghargaan berkenaan sekali gus menyuntik semangat pemain-pemainnya dalam persiapan menghadapi satu lagi kejohanan peringkat antarabangsa di Singapura pada Disember ini.

Pada kejohanan yang berlangsung 2 hingga 8 Ogos lalu, Kedah yang mewakili Malaysia muncul johan kumpulan divisyen 1 selepas menewaskan Austria 9-0, membelasah Myanmar 10-0 sebelum diberikan saingan sengit oleh Bangladesh, namun tetap menang dengan keputusan 2-0.

Pasukan negara berdepan pasukan pilihan dan juga pasukan tuan rumah iaitu India, namun ia tidak memberikan masalah buat pemain-pemain Malaysia untuk mengatasi gol dengan keputusan 5-0.

Dr Selvaraja yang juga Naib Presiden Olimpik Istimewa Kedah berkata, kemenangan di peringkat separuh akhir membakar semangat mereka untuk terus mengekalkan momentum tersebut sehingga berjaya mengatasi Korea 7-2 pada pentas akhir.

Artikel Berkaitan: