X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia #QuranHour terus tempa sejarah

Marhaini
A
A

SHAH ALAM - Program Malaysia #QuranHour terus menempa sejarah apabila buat pertama kalinya akan dianjurkan di Sepanyol, negara yang pernah menjadi saksi berkembangnya syiar Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Marhaini Yusoff berkata, penganjuran program tersebut di negara yang dikenali sebagai Andalusia itu merupakan satu lagi kejayaan besar penganjur.

Menurutnya, bacaan ayat-ayat suci al-Quran itu akan diadakan di Kedutaan Malaysia di Madrid, Sepanyol pada jam 3 petang (9 malam waktu Malaysia).

“Setakat ini sebenarnya untuk #QuranHour, kita dah ada 300 lokasi. Ini tahun kelima dan ikutkan termasuk World #QuranHour, kita buat program ini di 300 lokasi di 70 buah negara.

“Tahun ini, kita bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Luar Negara yang kita dah hantar semua dokumen. Yang baru menyatakan persetujuan untuk anjurkan program ini ialah di Sepanyol,” katanya di sini semalam.

Begitupun, Marhaini berharap lebih ramai rakyat Malaysia yang menetap di luar negara menyertai program tersebut.

“Ada 10 hari lagi, harapnya lebih ramai yang sertai kerana biasanya memang saat-saat akhir akan ada penyertaan tapi memang kita nak seru supaya ramai lagi rakyat Malaysia yang berada di luar negara sama-sama luangkan masa sejam membaca al-Quran.

“Mereka boleh ikut waktu Malaysia antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari,” ujarnya.

Beliau berkata, sekiranya mereka tidak tahu cara menganjurkannya, mereka boleh menonton siaran langsung Malaysia #QuranHour dalam televisyen dan platform digital Sinar Harian untuk sama-sama menghayati bacaan ayat suci al-Quran.

Program Malaysia #QuranHour yang akan berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya pada 30 Ogos ini mengangkat tema ‘Pesan Kemerdekaan Surah al-Kahf’ sempena sambutan kemerdekaan negara ke-62.

Marhaini berkata, penganjuran kali kelima itu membawa sedikit kelainan dengan mengajak masyarakat memahami erti kemerdekaan daripada surah al-Kahf dan memberi penekanan kepada kupasan inti surah tersebut.

“WUI dan penganjur bersama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berganding bahu menjayakan Malaysia #QuranHour dan ia berlainan dengan program sebelum ini.

“Ia kerana sejak awal 1440 Hijrah hingga penghujung tahun hijrah ini 29 Zulhijah iaitu penutup tahun 1440, surah al-Kahf terus dibincangkan. Malaysia #QuranHour diadakan setiap tahun sebagai program menjelang kemerdekaan dan pada tahun ini menjelang Hari Kebangsaan ke-62,” katanya.