Brexit: PM Britain tolak backstop

Boris Johnson
A
A

LONDON - Perdana Menteri Britain, Boris Johnson semalam mengesahkan hasratnya untuk merealisasikan perjanjian Brexit, namun tetap menolak langkah kontroversi backstop atau 'pintu belakang sempadan' dengan Ireland.

Backstop adalah mekanisme yang akan mengekalkan Britain di bawah aturan kastam Kesatuan Eropah (EU) bagi mengelakkan sempadan keras antara Ireland Utara yang juga wilayah Britain dan Republik Ireland (negara anggota blok Eropah).

"Anda mempunyai komitmen peribadi saya bahawa kerajaan ini akan bekerja dengan tekad untuk mencapai perjanjian keluar dari EU tersebut. Ini adalah keutamaan kami," kata Johnson menerusi surat dihantar kepada Presiden EU, Donald Tusk.

Kenyataan itu dibuat selepas Johnson yang mengambil alih jawatan pada Mei lalu menyatakan beliau sedia tinggalkan EU pada tarikh akhir ditetapkan pada 31 Oktober walaupun tanpa perjanjian.

Sebelum ini, Brussels menyatakan backstop diperlukan untuk memelihara integriti perdagangan Eropah dan mengelakkan risiko keganasan sektarian di Ireland Utara.

Langkah backstop itu terkandung dalam perjanjian dicapai antara bekas Perdana Menteri, Theresa May dan EU, namun ditolak sebanyak tiga kali oleh Parlimen British.

Johnson menyifatkan rancangan backstop itu sebagai antidemokrasi dan tidak konsisten dengan kedaulatan Britain.

Menurutnya, mengekalkan Britain di bawah Kesatuan Kastam akan mengelakkan London daripada mewujudkan dasar perdagangan bebas daripada peraturan EU. - BBC


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia