Jangan bazir masa bergaduh soal warna kulit

Hannah Yeoh - Foto fail Bernama
Hannah Yeoh - Foto fail Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Jangan bazirkan masa dan tenaga bergaduh soal warna kulit dan perkara yang tidak boleh diubah, sebaliknya gunakan peluang yang ada untuk memperoleh ilmu bermanfaat dan bergaul bagi memupuk perpaduan.

Peringatan itu diberikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh yang menegaskan sangat penting untuk rakyat negara ini membuang rasa takut dan curiga antara satu sama lain.

"Selagi kita tidak tahu bergaul dan menghormati orang lain, kita tidak akan mampu bersaing dengan negara lain dan membazir banyak masa dengan bergaduh mengenai warna kulit dan perkara yang kita tidak boleh ubah," katanya ketika merasmikan Karnival Pendidikan Komuniti Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) di sini hari ini.

Hannah berkata, sekolah merupakan medan yang sesuai untuk memupuk semangat perpaduan dan guru berperanan menggalakkan pergaulan anak murid melalui aktiviti di dalam dan luar bilik darjah.

"Guru-guru mesti mendorong perpaduan dan pergaulan melangkaui batas yang kita sendiri bina, satu generasi ke generasi yang berlainan mempunyai ketakutan yang berbeza, kita mesti mendorong generasi yang akan datang bergaul untuk memupuk perpaduan," katanya.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, Hannah berharap rakyat tidak mengambil sikap sambil lewa semangat perpaduan yang dimiliki negara hari ini.

"Kita mesti pertahankan semangat perpaduan ini bukan untuk generasi kita sahaja tapi juga untuk anak-anak kita nanti.

"Kita lihat di negara lain jika perpaduan itu tidak ada, kekacauan akan berlaku dan yang menjadi mangsa juga termasuk kanak-kanak apabila negara tidak aman," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: