Kes bunuh di Miri: Polis tahan enam suspek

A
A

MIRI - Polis menahan enam lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan ahli perniagaan yang mayatnya ditemui hampir reput di Sungai Suai pada bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, kesemua suspek berusia antara 23 dan 46 tahun, ditahan pada 15 Ogos lepas dengan senjata yang dipercayai digunakan untuk membunuh iaitu sebilah pisau serta sebatang besi turut dirampas.

“Siasatan masih diteruskan, namun setelah penahanan enam suspek ini, kita menganggap telah menyelesaikan kes pembunuhan mangsa berusia 60 tahun ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Lim berkata, siasatan awal mendapati dua suspek membunuh mangsa, George

Tang Kee Luang, manakala selebihnya bertindak meleraikan pelbagai bahagian lori milik mangsa yang disimpan di dalam semak dan rumah di Tukau.

Beliau berkata, mangsa dibunuh di dalam lorinya di Batu 1 Kuala Baram setelah salah seorang suspek menelefon mangsa meminta berjumpa di lokasi tersebut bagi tujuan membuat pembayaran bagi perkakasan yang telah dibeli dari mangsa.

“Mangsa dibunuh oleh suspek kerana ada kaitan kes penipuan pembelian barang

perkakasan dilakukan oleh suspek yang mahu mengelakkan kegiatan terbongkar

oleh majikan suspek,” katanya.

Menurutnya, salah seorang suspek telah diberi tanggungjawab oleh syarikat tempatnya bekerja untuk membeli perkakasan dari mangsa namun suspek telah menggunakan wang tersebut untuk kepentingan sendiri.

“Selain senjata yang digunakan untuk pembunuhan itu polis turut merampas kenderaan Perodua Myvi yang dipercayai ada kaitan dengan kes ini,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Untuk rekod, mangsa dilaporkan hilang pada 29 Jun bersama lorinya dan mayatnya yang reput telah dijumpai terapung dengan bahagian atas badan telah dibaham buaya pada 3 Julai. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia