Shaharin (kiri) dan anaknya Haziq Shauki menunjukkan gambar mangsa. Gambar kecil: Mat Zain.
A
A

BALING - Seorang warga emas dari Kampung Bandar, Mukim Siong hilang selepas keluar dari rumahnya sejak 8 Ogos lalu.

Anaknya Shaharin Mat Zain, 56, berkata, bapanya, Mat Zain Taib,83, kali terakhir dilihat berada di rumah sehari sebelum dia menghilangkan diri.

Menurutnya, ketika itu, isterinya Mazlinda Nasir,50, pergi menghantar nasi ke rumah pada waktu tengah hari.

"Waktu itu ayah masih ada di rumah. Tetapi ketika kami pergi hantar makanan pada waktu Maghrib ayah tiada. Jadi kami beranggapan dia akan balik waktu malam.

"Keesokan harinya ketika kami pergi hantar makanan untuk sarapan, ayah masih tiada di rumahnya. Makanan dihantar sebelum itu juga tidak terusik," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Bandar semalam.

Katanya, satu laporan polis tentang kehilangan mangsa telah dibuat pada petang 9 Ogos.

"Semua ahli keluarga cuba mencari ayah gagal," katanya.

Shaharin berkata, dia yakin ayahnya hilang di kawasan belakang rumah memandangkan kasut sarung getah selalu dipakai warga emas itu tidak digunakan.

"Selalunya nak ke mana-mana ayah akan pakai kasut tu kecuali jika keluar di kawasan sekitar rumah.

"Jika orang datang ambil pun, dia tak akan keluar macam tu saja. Dia mesti akan pakai kasut tu," katanya.

Katanya lagi, ayah kepada enam anak itu merupakan seorang yang 'ingat-ingat lupa' namun tidak pernah keluar jauh dari kawasan kampung.

Orang ramai mempunyai maklumat tentang kehilangan mangsa diminta salurkan maklumat kepada pihak berkuasa.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia