Gambar Syukur terpilih untuk pameran di Itali

Status dimuat naik Mohd Nazri yang berkongsi berita gembira mengenai pemilihan gambar hasil karyanya.
Status dimuat naik Mohd Nazri yang berkongsi berita gembira mengenai pemilihan gambar hasil karyanya.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Populariti Muhammad Syukur Khamis, 14, remaja yang mendapat julukan sebagai ‘Mowgli Malaysia’ terus melonjak di persada antarabangsa setelah gambarnya bersama kerbau terpilih untuk dipamerkan di sebuah galeri di Rom, Itali.

Berita gembira itu dikongsi oleh jurugambar, Mohd Nazri Sulaiman menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Menurut Mohd Nazri, gambar hasil bidikannya yang berjudul ‘Sharing Emosi’ (Berkongsi Emosi) yang diangkat sebagai Imej Asia 2018 oleh Asian Geographic terpilih untuk dipamerkan sempena pameran imej terbaik Alfred Fried Photography Award 2018.

“Alhamdulillah. Gambar saya terpilih untuk dipamerkan di galeri di Rom, Itali dan beberapa buah negara di sekitar Eropah.

“Adik Syukur Khamis - Kampong Boy, sampai Eropah gambarmu ni. Kebanggaan Terengganu, kebanggaan Malaysia. Alhamdulillah,” tulisnya.

Karya yang diangkat sebagai Imej Asia 2018 oleh Asian Geographic bagi kategori Jalanan/Orang Terbaik itu memaparkan pelajar tingkatan dua di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu, Muhammad Syukur sebagai subjek utama.

Gambar yang disifatkan menyentuh emosi itu memaparkan Muhammad Syukur duduk bersandarkan seekor kerbau di kawasan lumpur manakala sekumpulan lagi haiwan itu berkerumun di belakangnya.

Dalam pada itu, Mohd Nazri turut berkongsi e-mel diterima daripada pihak penganjur yang memaklumkan mengenai pemilihan lukisannya untuk dipamerkan di Rom, Itali yang dijadualkan bermula 25 September depan.

Artikel Berkaitan:

“Kami sedang menyusun pameran imej terbaik Alfred Fried Photography Award 2018. Imej-imej itu akan dicetak di atas plat besar dan akan dipamerkan bermula 25 September 2019 di Austrian Cultural Forum di Rom dan di beberapa lokasi lain di sekitar Eropah,” katanya.