Himpunan Anti-Lynas: MPK belum muktamad keputusan

Lokasi yang dijadualkan berlangsungnya himpunan anti-lynas esok.
Lokasi yang dijadualkan berlangsungnya himpunan anti-lynas esok.
A
A
A

KUANTAN - Permohonan dan kelulusan Himpunan Anti-Lynas yang dijadualkan berlangsung di Taman Gelora esok masih belum dimuktamadkan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporatnya, Nor Kamawati Kamal berkata, difahamkan permohonan untuk menggunakan lokasi itu telah dihantar Ahli Dewan Undangan (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang.

“Saya tidak tahu permohonan itu dihantar kepada siapa tetapi setakat ini perkara terbabit masih belum diputuskan oleh pihak pengurusan MPK,” katanya.

Esok, Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Tan Bun Teet selaku penganjur akan mengadakan himpunan di kawasan itu bagi membantah tindakan kerajaan yang membuat pusingan U selepas menggugurkan syarat Lynas Corporation Ltd (Lynas) daripada menghantar sisa radioaktifnya.

Ia dijadualkan bermula pada jam 7 pagi dan berakhir pada 10:30 pagi.

Bun Teet menganggarkan kehadiran orang ramai antara 1,000 hingga 2,000 orang, dengan sebahagian besar mereka akan datang dari luar Kuantan.

Antara ahli politik yang dijangka hadir di perhimpunan itu ialah wakil rakyat PKR Lee Chean Chung (ADUN Semambu) dan Sim Chon Siang (ADUN Teruntum).

Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack, yang sudah lama bersikap kritikal terhadap Lynas, juga dijangka akan hadir pada himpunan tersebut.

Artikel Berkaitan: