Maut kereta hilang kawalan

Mangsa dari Felda Lok Heng Selatan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian badan,
Mangsa dari Felda Lok Heng Selatan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian badan,
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang lelaki maut selepas Proton Wira dipandu terlibat kemalangan dengan sebuah lagi kenderaan jenis yang sama di KM8.0 Jalan Perani-Lok Heng Mawai, malam tadi.

Mangsa Norman Effendi Mohamad Hata, 35, dari Felda Lok Heng Selatan mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Nik Azaham Nik Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak HKT yang memaklumkan kemalangan tersebut.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang memandu dari arah Felda Lok Heng menghala ke Kota Tinggi telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

"Kenderaan mangsa bertembung dengan kereta jenis sama yang datang dari arah Kota Tinggi menghala ke Felda Lok Heng.

"Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam kira-kira 12.05 pagi ketika mendapatkan rawatan di hospital," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, katanya seorang lagi pemandu yang berusia 26 tahun dari Felda yang sama mengalami patah kaki dan telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan.

Jelasnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

Artikel Berkaitan: