Terharu terima kunjungan Agong, Raja Permaisuri

Al- Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri mencemar duli melawat Salmah di rumahnya di Taman Sri Keramat di sini hari ini.
A
A

MARAN - Ibu kepada seorang remaja yang disahkan menghidap sindrom down menangis terharu selepas menerima kunjungan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mencemar duli melawat mereka di rumahnya di Taman Keramat di sini hari ini.

Salmah Ali, 59, berkata, anaknya, Syafirah Hanum Chik, 23, disahkan menghidap sindrom down sejak lahir.

"Ya ALLAH tak terucap dengan kata-kata...saya sangat terharu apabila Seri Paduka dan Raja Permaisuri mencemar duli melawat anak saya... Inilah sejarah paling gembira buat saya dan anak saya," katanya.

Salmah berkata, dia sebak apabila anaknya mendapat simpati ramai dan tidak menyangka Seri Paduka dan Raja Permaisuri turut berjaya membuat anaknya tersenyum.

"Sejak tahun 2015 anak saya tidak dapat berjalan dan tidak makan selepas dia mencabut gigi pada tahun 2013 disebabkan giginya mengalami bengkak.

"Dulu sebelum sakit dia mampu berjalan untuk ke sekolah dan selalu tersenyum selain suka menyanyi. Namun selepas dia sakit, dia sukar untuk senyum dan tidak mampu berjalan.

"Tetapi hari ini bila Raja Permaisuri menyanyikan lagu tanya sama pokok, dia tersenyum panjang dan saya sebak bila tengok anak saya mampu tersenyum," katanya kepada media ketika ditemui di rumahnya di Taman Keramat di sini hari ini.

Al- Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri mencemar duli melawat Salmah di rumahnya di Taman Sri Keramat di sini hari ini.
Al- Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri mencemar duli melawat Salmah di rumahnya di Taman Sri Keramat di sini hari ini.

Salmah yang terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu Tadika Kemas pada tahun 2017 berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu memerlukan pemerhatian rapi.

"Walaupun menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat RM300 sebulan namun tidak mencukupi kerana anak saya memerlukan susu khas, lampin pakai buang dan krim khas yang menelan kos kira-kira RM500 sebulan," katanya.

Dalam pada pada, Seri Paduka dan Raja Permaisuri turut mencemar duli melawat keluarga Mohd Yusuf mohd Idris, 78, bagi melawat isterinya, Som @ Salmah Omar, 71, yang mengalami penyakit angin ahmar.

"Saya melihat isteri saya tersenyum apabila Seri Paduka dan Raja Permaisuri melawat kami sekeluarga. Terima kasih kepada Tuanku kerana sanggup menziarahi kami sekeluarga," katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong diiringi Raja Permaisuri yang berpakaian serba putih mutiara mencemar duli melawat tiga buah rumah dalam program Ziarah Kasih di Taman Sri Keramat di sini hari ini.

Pasangan DiRaja itu yang terkenal dengan sikapnya yang suka turun padang tiba di kawasan kampung tersebut kira-kira jam 11 pagi dan turut mengambil kesempatan bersalam bersama rakyat di situ.

Baginda meluangkan masa kira-kira 1 jam 30 minit bersama keluarga di rumah tersebut dan turut berkenaan mengurniakan sumbangan kepada tiga buah rumah tersebut yang merupakan orang kurang upaya (OKU) sindrom down, pesakit angin ahmar dan autisme.