Lelaki dakwa Nora Anne dirogol orang asli ditahan polis

Seorang lelaki ditahan susulan ciapan mendakwa gadis warga Ireland, Nora Anne dirogol oleh orang asli sebelum ditemukan mati. (Gambar kecil, Mohamad Mat Yusop)
Seorang lelaki ditahan susulan ciapan mendakwa gadis warga Ireland, Nora Anne dirogol oleh orang asli sebelum ditemukan mati. (Gambar kecil, Mohamad Mat Yusop)
A
A
A

SEREMBAN - Polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ciapan yang dimuat naik di laman sosial, mendakwa remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, dirogol orang asli.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, lelaki itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban ketika hadir untuk memberi keterangan kepada polis semalam.

"Ya, dia telah ditangkap jam 7 malam tadi di IPD Seremban. Kes ini diserah kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan melalui pesanan ringkas kepada media hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Nora Anne tidak dirogol, diculik

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai satu ciapan oleh seorang pengguna dengan nama Zikri Armstrong yang mendakwa remaja warga Ireland yang dilaporkan hilang sebelum ditemukan mati pada Selasa telah dirogol orang asli.

"Perogol Nora Anne adalah orang asli. Polis tidak akan menemuinya kerana kebanyakan orang asli tidak mempunyai kad pengenalan atau sebarang data kewarganegaraan. (Police will never find the killer cuz most orang asli still don't have IC or any sort of citizen data. Bet me)," katanya di laman sosial itu.

Dimaklumkan lokasi resort The Dusun, tempat penginapan Nora Anne dan keluarganya di Pantai itu adalah berhampiran dengan kawasan penempatan orang asli.

Terdahulu, mayat Nora Anne tanpa berpakaian ditemui kira-kira jam 1.57 petang oleh sekumpulan pendaki yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Artikel Berkaitan:

Gadis lembam itu dilaporkan hilang dari resort The Dusun jalan Pantai di sini pada 4 Ogos lalu semasa sedang bercuti bersama ibu, Maebh Jaseprine Quorin, 46, dan bapa, Sebastian Marie Philipe, 47, serta dua adiknya.

Hasil bedah siasat mendapati remaja malang itu telah meninggal dunia dua atau tiga hari sebelum mayatnya dijumpai pada 13 Ogos lalu di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort berkenaan, selepas 10 hari dia dilaporkan hilang dari bilik penginapannya.