Kelemahan pemain sayap bantut usaha TFC raih 3 mata

Tengku Hazman Raja Hassan
Tengku Hazman Raja Hassan
A
A
A

JURULATIH Terengganu FC ll (TFC ll), Tengku Hazman Raja Hassan mengakui kegagalan mengutip tiga mata penuh pada saingan Piala Cabaran menentang UKM FC malam tadi berpunca daripada kelemahan dua pemain sayap.

Tengku Hazman berkata, gandingan Mohamad Haidhir Suhaini (sayap kiri) dan Mohd Shahrul Aizad Zulkifli (sayap kanan) gagal berfungsi dengan baik sekali gus menyebabkan corak permainan tidak menjadi seperti yang dirancang.

Menurutnya, ia ditambah pula dengan masalah ketumpulan penyudah yang masih menghantui pasukan 'feeder club' itu sejak dari awal musim menyebabkan empat peluang gol yang terbuka luas terbuang begitu sahaja tanpa dimanfaatkan.

"Daripada awal sudah nampak kepincangan pada setiap bahagian yang tidak bermain seperti biasa tetapi paling ketara pemain sayap kita yang tidak berfungsi daripada awal hingga akhir.

"Pada babak kedua pula kita dapat empat peluang terbuka dan kalau kita dapat menyudahkan satu sahaja daripadanya, sepatutnya sudah boleh menang," katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang UKM FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Pada perlawanan tersebut, skuad The Titans sekadar berkongsi satu mata dengan The Varsity Boys selepas seri 2-2.

Tengku Hazman berkata, beliau tidak menafikan skuad kendaliannya akan berdepan tugas sukar pada perlawanan menentang Selangor United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selasa depan sekiranya mereka kekal dengan corak permainan yang sama seperti ditonjolkan malam tadi.

Sementara itu pengendali UKM FC, Sulaiman Hussin menyifatkan keputusan seri 2-2 yang diperoleh pada perlawanan tersebut sudah cukup berharga jika dibandingkan dengan reputasi TFC ll sebagai satu pasukan yang kuat.

Artikel Berkaitan:

"Pasukan kami pernah bertemu TFC ll sebanyak sembilan kali di Liga Perdana dan belum pernah menang satu pun perlawanan dengan mereka.

"Jadi, walaupun dapat satu mata, saya rasa seolah-olah dapat tiga mata kerana secara peribadi saya amat menggemari perlawanan dengan TFC ll dan harap dapat jumpa mereka di 'final'," katanya.

Beliau turut mengganggap Piala Cabaran sebagai platform terbaik untuk 'memasarkan' pemainnya kepada pasukan bertaraf lebih tinggi. - Bernama