Bersatu Perak terima sumbangan Yew Yin

Zambry Abd Kadir
Zambry Abd Kadir
A
A
A

IPOH - Bersatu Perak didakwa pernah menerima bantuan kewangan daripada ahli perniagaan kontroversi, Koon Yew Yin.

Perkara itu didedahkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kerana melihat Yew Yin begitu berani ke hadapan dengan merobek imej orang Melayu kerana selama ini keceluparannya tidak dipedulikan sesiapa.

Menurutnya, di Perak, Yew Yin mencipta pelbagai kontroversi dengan memandang rendah kerajaan yang dipimpin UMNO malah secara terang-terangan membantu DAP dan PH dari segi kewangan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipimpin BN.

"Dia merasakan dalam dunia Malaysia baru ini, dia lebih bebas untuk berkata apa sahaja terhadap kakitangan awam, tentera dan guru yang majoritinya terdiri daripada Melayu dan Bumiputera. Maklumlah antara penerima bantuan kewangan darinya ialah Parti Bersatu Perak sendiri dengan disaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Beliau dilantik oleh kerajaan PH Perak sebagai penasihat ekonomi selepas PRU14. Tetapi oleh kerana sentiasa memikirkan bahawa dirinya sahaja yang terbaik jawatan beliau ditarik balik," katanya menerusi satu hantaran di facebooknya malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Yew Yin memperlekeh anggota tentera dengan mengatakan bahawa mereka hanya makan dan tidur malah majoriti tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak papan sasaran dan sepatutnya digunakan bagi mengganti pekerja asing yang diupah di ladang Felda.

Bagaimanapun, selepas mendapat kecaman ramai, Yew Yin akhirnya menarik balik kenyataannya terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menimbulkan rasa kurang senang kebanyakan pihak.

ARTIKEL BERKAITAN: Yew Yin tarik balik kenyataan, mohon maaf kepada tentera

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zambry berkata, DAP sentiasa menyanjung Yew Yin sebagai pejuang tegar bersama mereka yang mahu menukar pemerintahan kerajaan BN.

Katanya, ahli perniagaan itu turut bersama dengan gerakan DAP Perak sepanjang sebelum PRU14 menyebarkan keburukan kononnya Perak sebagai negeri kedua termiskin kerana ditadbir BN walaupun perkara itu disangkal Khazanah Research.

"Meskipun Khazanah Research menafikan analisis tersebut, beliau tidak pedulikannya kerana matlamatnya untuk melihat pertukaran kerajaan dan kebenciannya yang menebal.

"Ia mencetuskan sikap sombong tahap tinggi yang begitu angkuh dengan kedudukan kuasa dan kekayaan.

"Inilah refleksi sikap tinggi diri yang ada dalam dirinya dengan memandang bahawa dia dan kumpulannya lebih hebat daripada kumpulan dan bangsa lain yang berada tanah air ini," katanya.

Dalam pada itu, Zambry menyifatkan tulisan dan luahan Yew Yin adalah gambaran mental golongan seperti itu yang sentiasa memandang rendah terhadap orang lain.

Menurutnya, sesiapa yang mengikuti tulisan Yew Yin pasti akan dapat membuat kesimpulan tentang proses kebencian yang dibina dan tersemat sekian lama dalam jiwa ahli perniagaan itu.