BoBoiBoy Movie 2 beri kepuasan buat penonton

A
A

KEJAYAAN filem BoBoiBoy The Movie yang mengutip RM18 juta pada tahun 2016 mendorong Animonsta Studios untuk menghasilkan sekuel filem BoBoiBoy Movie 2 (BBBM2).

Sudah pun memulakan tayangannya serentak di 500 pawagam seluruh Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Vietnam bermula 8 Ogos lalu, filem ini masih mengekalkan Nizam Abdul Razak selaku pengarah.

Juga masih mengekalkan Nur Fathiah Diaz selaku suara BoBoiBoy, filem ini juga turut menampilkan Fadzli Mohd Rawi, Dzubir Mohammed Zakaria, Wong Wai Kay, Nur Sarah Alisya Zainal Rashid dan Yap Ee Jean yang meminjamkan suara mereka untuk watak penting.

Secara ringkasnya, filem kali ini mengisahkan BoBoiBoy dan rakan-rakannya yang diserang oleh Retak’ka yang merupakan pengguna asal kuasa Elemental yang dimiliki BoBoiBoy pada ketika ini.

Retak’ka ingin merampas semula kuasa tersebut untuk menguasai galaksi.

Jadi, BoBoiBoy dan rakan-rakannya perlu mencari cara untuk menghalang niat jahat musuh mereka yang penuh misteri ini sekali gus menyelamatkan galaksi daripada ancaman Retak’ka.

Sejujurnya, penulis tidak pernah menonton filem BoBoiBoy The Movie yang ditayangkan pada tahun 2016.

Bagaimanapun ia tidak menjadi penghalang buat penulis untuk menonton sekuelnya pula.

Bagi penulis, tidak ada sebarang masalah bagi mereka yang tidak pernah menonton filem pertama untuk menonton filem kedua, kecuali anda akan berasa sedikit lost pada awal filem, yang memaparkan usaha BoBoiBoy dan Gopal memulangkan sebiji telur untuk mendapatkan kembali bola sphera kuasa.

Bagaimanapun selepas itu, termasuk selepas kemunculan Retak’ka, penonton akan dapat mengikuti perjalanan jalan cerita ini dengan baik, lebih-lebih lagi kali ini ia memaparkan persaingan antara Retak’ka dan BoBoiBoy untuk menguasai kuasa Elemental.

Antara tarikan utama filem ini bagi penulis adalah skrip yang berunsur komikal dan gila-gila. Ia akan membuatkan penonton tidak kering gusi, lebih-lebih lagi melibatkan watak Papa Zola, Pipi Zola dan Gopal.

Dengan kos keseluruhan RM7 juta, penulis melihat hasil animasi di dalam filem ini cukup baik sekali.

Penuh warna-warni dan pastinya akan menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya.

Dalam masa yang sama, bagi mereka yang meminati babak aksi, filem ini juga turut menawarkan pertarungan yang cukup menarik dan mendebarkan, walaupun ia hanya sebuah filem animasi sahaja.

Pendek kata, ia bukan hanya untuk tontonan kanak-kanak sahaja tetapi juga golongan dewasa boleh turut sama enjoy menyaksikan filem ini di pawagam.

Jadi bagi mengetahui kisah selanjutnya antara BoBoiBoy dan Retak’ka, jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam.

INFO FILEM:

BoBoiBoy Movie 2

Pengarah: Nizam Abdul Razak

Pelakon: Nur Fathiah Diaz, Fadzli Mohd Rawi, Dzubir Mohammed Zakaria, Wong Wai Kay, Nur Sarah Alisya Zainal Rashid & Yap Ee Jean.

Genre: Animasi

Durasi: 1 Jam 50 Minit

Klasifikasi: U

Tayangan: 8 Ogos 2019

Bintang: 4.