Taufan Lekima: Nadma beri sumbangan RM5,000

Halimaton Shaadiah (enam dari kanan) ketika Mesyuarat Penyelarasan Bantuan Bencana Ribut negeri yang dipengerusikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Syed Shaharuddin Syed Abdullah di Wisma Darul Aman semalam. (Gambar kecil: Halimaton)
Halimaton Shaadiah (enam dari kanan) ketika Mesyuarat Penyelarasan Bantuan Bencana Ribut negeri yang dipengerusikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Syed Shaharuddin Syed Abdullah di Wisma Darul Aman semalam. (Gambar kecil: Halimaton)
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyalurkan bantuan maksimum RM5,000 bagi membaik pulih rumah mangsa ribut di negeri ini yang terjejas akibat Taufan Lekima Jumaat lalu.

Exco Kebajikan Masyarakat, Halimaton Shaadiah Saad berkata, bantuan awal itu dipersetujui dalam Mesyuarat Penyelarasan Bantuan Bencana Ribut negeri yang dihadiri Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Nadma serta pentadbiran daerah malam semalam.

Menurutnya, perbincangan itu memutuskan wang bantuan awal daripada Nadma akan disalurkan kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk kerja-kerja pembaikan rumah mangsa ribut.

“Mesyuarat juga memutuskan had maksimum pembaikan sebuah rumah sebanyak RM5,000. Sekiranya kerja pembaikan melebihi daripada jumlah itu, kita hanya tetap salurkan RM5,000 seperti diperuntukkan,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, bantuan itu hanya melibatkan pembaikan kediaman, tidak termasuk kilang, masjid, kedai dan premis lain.

“Pejabat Daerah perlu menyelaras dan mendapatkan anggaran kerosakan rumah dengan menyediakan maklumat lengkap iaitu alamat kediaman mangsa, laporan polis, gambar kediaman mangsa serta pengesahan daripada penghulu mukim,” katanya.

Menurutnya, syarat lain termasuk menyediakan sebut harga bagi kos pembaikan yang disahkan pegawai teknikal di Pejabat Daerah.

“Mangsa hendaklah menggunakan borang yang disediakan Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah. Kesemua maklumat itu perlu dihantar ke Bahagian Khidmat Pengurusan Wisma Darul Aman.

Artikel Berkaitan:

"Borang yang lengkap akan dihantar ke pejabat APM Kedah untuk diselaraskan dengan Nadma untuk tindakan lanjut. Tarikh akhir penyerahan borang adalah pada Khamis ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi mangsa ribut yang telah membuat pembaikan terlebih dahulu dan ingin membuat tuntutan hendaklah menyediakan dokumen lengkap seperti laporan polis, gambar rumah sebelum dan selepas pembaikan serta disahkan penghulu mukim.

Katanya, sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM20,000 akan disalurkan ke akaun amanah pegawai daerah selewat-lewatnya pada Khamis ini melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.

“Jumlah rumah mangsa ribut terkini adalah 1,808 buah meliputi 12 daerah yang mengalami pelbagai kerosakan, antaranya bahagian bumbung diterbangkan angin selain kerosakan dihempap pokok tumbang,” katanya.

Menurutnya, daerah Kuala Muda mencatatkan rumah paling banyak rosak iaitu 487 buah, diikuti Kota Setar (300), Kulim (260), Kubang Pasu (174), Langkawi (167), Baling (144), Yan (86), Pendang (57), Padang Terap (45), Sik (40), Pokok Sena (33) dan Bandar Baharu (15).