X

Kindly register in order to view this article
!

MP Klang desak kaji semula isu Dr Zakir Naik, tulisan khat

Charles Santiago
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mendesak Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengkaji proses membuat keputusan susulan keputusan kerajaan terhadap isu tulisan jawi dan seni khat serta isu lain termasuk pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik.

Charles berkata, ada terlalu banyak kuasa di tangan Perdana Menteri yang sepatutnya dikongsi secara sama rata dalam kalangan parti komponen PH.

“Isu kontroversi dalam kerajaan membabitkan kaum dan agama patut dibincangkan melalui Majlis Presiden PH itu.

“Kita tidak boleh menyingkirkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya untuk menjadi sepertinya," kata wakil rakyat DAP itu.

Baru-baru ini, kumpulan pendidikan Cina dan Tamil membantah pengenalan tulisan jawi dan seni khat dalam subjek Bahasa Melayu di semua sekolah, termasuk sekolah vernakular mulai tahun depan.

Charles berkata, Dr Mahathir dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tentunya sedar sensitiviti berhubung isu itu sebelum mencadangkan idea berkenaan.

“Dan kenapa rakyat tidak curiga? Kerajaan PH melindungi pendakwah kontroversi, Zakir Naik,” katanya.

Beliau berkata, Dr Zakir diberikan status penduduk tetap di Malaysia walaupun dikehendaki pihak berkuasa India atas dakwaan pengubahan wang dan aktiviti pengganas.

Beliau turut menyentuh pusingan U dibuat kerajaan berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan penarikan daripada mengiktiraf Statut Rom.

“Minggu depan, kerajaan akan menarik balik janji dalam manifestonya apabila ia memperbaharui lesen operasi Lynas. Kerajaan jelas tidak mempunyai rekod baik untuk memenangi keyakinan rakyat.

“Sekarang, Dr Mahathir patut boleh baca mood rakyat. Dan beliau perlu memahami keputusan yang dibuat sewenang-wenangnya tanpa perbincangan tidak akan berjaya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus