20 penghuni tinggal sehelai sepinggang

Anggota bomba memadam kebakaran melibatkan tiga rumah di Kampung Padang Pohon Tanjong. (Gambar kecil, Norma)
Anggota bomba memadam kebakaran melibatkan tiga rumah di Kampung Padang Pohon Tanjong. (Gambar kecil, Norma)
A
A
A

TUMPAT - 20 penghuni di Kampung Padang Pohon Tanjong di sini tinggal sehelai sepinggang selepas tiga rumah didiami mereka terbakar pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan apabila penghuni di rumah sewa terbabit berjaya menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, mereka tidak sempat menyelamatkan harta benda termasuk sebuah kereta Proton Wira dan dua buah motosikal hangus.

Mangsa, Norma Awang, 36, yang ketika itu sedang menyusukan anaknya Mohd Putra Adam Qoyum, 2 menyedari kebakaran berlaku selepas asap memenuhi ke ruang rumahnya yang berada di unit tengah.

"Makin lama makin kuat asap dari rumah jiran sebelah kiri saya ini yang dipisahkan oleh dinding kayu.

"Rumah itu kosong kerana jiran saya keluar bekerja dan anak-anaknya ke sekolah.

"Lalu saya minta anak saya, Putra Qushairi Mohd Zubi, 5, menutup pintu kerana tak mahu asap masuk," katanya ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Artikel Berkaitan:

Kereta Proton Wira milik salah seorang mangsa turut musnah dalam kebakaran itu. (Gambar kecil, Ariza)
Kereta Proton Wira milik salah seorang mangsa turut musnah dalam kebakaran itu. (Gambar kecil, Ariza)

Menurutnya, curiga dengan asap yang semakin tebal, dia kemudiannya menjerit bertanyakan kepada jirannya seorang lagi, Ariza Omar,42, untuk mengetahui apa yang berlaku.

"Mujurlah kami sedar awal rumah jiran kami terbakar, tanpa berlengah saya terus mengambil dokumen penting di dalam bilik tidur selepas melihat api mula merebak ke rumah saya.

"Anak saya Putra Qushairi perlu didukung kerana dia takut. Saya terpaksa membawa keluar anak kecil dulu dan kemudiannya mengambil Putra Qushairi yang menunggu di tangga rumah," katanya.

Menurutnya, dia mahu masuk semula ke dalam rumah untuk menyelamatkan harta benda lain tetapi disebabkan siling rumahnya runtuh dijilat api, dia membatalkan niat kerana membahayakan nyawanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Penolong Penguasa Bomba, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.40 pagi.

Katanya, seramai 25 anggota bomba dengan empat jentera dari Balai Bomba Wakaf Bharu, Tumpat, Pengkalan Kubor dan Darul Naim bergegas ke lokasi memadam kebakaran tersebut.

"Punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.