Unit khas keselamatan dan kesihatan PDRM wajar disegerakan

Halim Ishak
A
A

SHAH ALAM - Cadangan penubuhan unit khas yang bertanggungjawab meningkatkan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajar disegerakan.

Pengerusi Pengerusi Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak berkata, pihaknya menyambut baik cadangan itu dan menganggap perkara tersebut sesuatu yang serius serta perlu diberi perhatian segera.

Justeru, beliau menggesa agar kerajaan memberi penambahbaikan melalui peruntukan yang lebih besar dalam Belanjawan Negara 2020 khusus kepada pasukan keselamatan negara.

“Cadangan yang dibangkitkan ini memang wajar untuk menjaga keselamatan dan kebajikan anggota polis terutama mereka yang bekerja di lapangan yang sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko kemalangan, bencana, penyakit dan kematian.

“Dengan penubuhan sebuah unit khas seperti KKP ini, bukan sahaja lebih terbela tetapi mampu mengurangkan peningkatan jumlah kematian, kecederaan yang semakin meningkat saban tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye yang menggesa PDRM menubuhkan unit khas tersebut berikutan statistik PDRM menunjukkan secara purata sekurang-kurangnya 32 pegawai dan anggota polis meninggal dunia setiap bulan ketika bertugas.

Dalam pada itu, Halim turut menyarankan agar unit Badan Kebajikan dan Kaunseling (Baka) PDRM diperbesarkan menjadi satu jabatan seperti Kor Agama Tentera (Kagat) dalam menangani masalah dalaman serta kebajikan PDRM.

“Ini penting kerana sebagai penjawat awam, PDRM juga tidak terkecuali berdepan dengan pelbagai masalah anggotanya dan perkara ini perlu diambil berat terutama peranan yang mereka mainkan bukan sahaja untuk menjaga kesejahteraan rakyat malah, melibatkan pemantauan dan pencegahan jenayah warga asing yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia