Warga emas maut terjatuh ke dalam tali air

Seorang warga emas meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dalam tali air.
Seorang warga emas meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dalam tali air.
A
A
A

BAGAN SERAI - Seorang wanita warga emas meninggal dunia selepas terjatuh dalam tali air besar berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Buluh, di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 1.45 petang itu, mangsa berusia 70-an dilihat terkapai-kapai dalam tali air berkenaan sebelum cuba diselamatkan seorang pekerja dari tapak pembinaan berhampiran.

Saksi memaklumkan, kejadian itu disedari seorang suri rumah berusia 30-an yang sedang menunggu anak tamat sesi sekolah.

Katanya, wanita itu kemudiannya menjerit meminta pertolongan orang ramai menyebabkan seorang lelaki yang bekerja di tapak pembinaan berhampiran terjun ke dalam tali air dan menarik mangsa ke tebing.

"Mangsa bagaimanapun meninggal dunia ketika dibawa naik ke tebing dipercayai akibat lemas. Dia dikatakan berada di situ untuk memancing," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan masih dijalankan.

Katanya, mayat mangsa kini dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan: