Ada muslihat lagakan Anwar dengan pemimpin PH: Farhash

Farhash
Farhash
A
A
A

IPOH - PKR Perak melihat ada segelintir pihak yang mempunyai muslihat tersendiri untuk melaga-lagakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, sifat kepura-puraan segelintir pemimpin di dalam parti menghasilkan polemik politik sehingga menyebabkan beberapa ahli komponen di dalam PH tidak selesa.

Beliau berkata, disebabkan itu pihaknya melihat mana-mana ahli parti yang ingin melafazkan taat setia menyokong penuh presiden sebagai wajar demi merapatkan saf parti.

"Surat sokongan buat Presiden menjelaskan hasrat pucuk kepimpinan dan akar umbi parti PKR yang mahukan kesinambungan reformasi di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Namun ada segelintir pihak yang mempunyai muslihat tersendiri sebagaimana yang disebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau Abdul Yunus Jamhari untuk melagakan pemimpin PH dengan Presiden.

"Tiada masalah sekiranya ahli parti ingin melafazkan ikrar taat setia dan menyokong penuh presiden demi merapatkan saf," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Yunus yang juga Ketua PKR Cabang Parit Buntar bahawa tiada keperluan kepada mana-mana ketua cabang PKR di negara ini menandatangani surat sokongan kepada Anwar untuk terus menjadi nakhoda utama sekali gus calon Perdana Menteri kelapan.

Abdul Yunus dalam kenyataan semalam turut membidas tindakan segelintir pihak yang cuba mengheret pemimpin dan anggota parti demi memenuhi muslihat peribadi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Farhash Wafa Salvador berkata, mana-mana ahli mahupun pemimpin parti yang enggan memberikan sokongan kepada Anwar perlu menerima sebarang persepsi negatif terhadap mereka oleh media serta ahli parti kerana ingkar.

Beliau dalam pada itu turut mengakui tidak gembira dengan keengganan Abdul Yunus dan Ketua PKR Cabang Bukit Gantang, Chua Yee Ling untuk menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai bakal Perdana Menteri kelapan.

"Selaku Pengerusi PKR negeri saya terima keengganan Abdul Yunus dan Chua Yee Ling walaupun saya tidak berapa gemar, namun inilah demokrasi. Usaha yang dilakukan melalui surat sokongan kepada Presiden adalah tepat dan jelas.

"Persoalannya sekiranya ada sebarang ketidakpastian di dalam situasi politik parti mahupun negara, bolehkah kita harapkan parti berdiri teguh sebagai satu entiti di bawah Presiden?" katanya yang juga Setiausaha Politik Anwar.

ARTIKEL BERKAITAN Surat sokong Anwar bentuk persepsi negatif