Ustaz madrasah diugut bunuh gara-gara buang pelajar

Gambar hiasan. Gambar kecill: Razmi
Gambar hiasan. Gambar kecill: Razmi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang ustaz di sebuah madrasah di daerah ini hidup dalam ketakutan selepas menerima mesej berbaur ugutan daripada seorang lelaki tidak dikenalinya, Jumaat lalu.

Mangsa berusia 28 tahun itu menerima satu mesej ugutan yang mahu membakarnya sehingga mati melalui Instagram peribadi miliknya, kira-kira jam 11 pagi.

Selain ugutan, mesej dihantar melalui akaun yang hanya menggunakan nama 'judinxx' itu turut berbaur kebencian terhadap pihak madrasah sebelum ini.

Menurut sumber, mangsa yakin mesej dihantar itu ada kaitan rasa tidak puas hati kerana sebelum ini dia ada membuang lima pelajar madrasah kerana masalah disiplin.

"Pada Jun tahun lepas, mangsa ada membuang seorang pelajar tetapi pihak madrasah masih memberi kelonggaran kepada pelajar itu membuat rayuan untuk terus kekal belajar di madrasah tersebut.

"Bagaimanapun keluarga pelajar itu dengan rela hati memilih untuk memberi surat berhenti sekolah, namun dengan cara biadab apabila melemparkan surat tersebut kepada pengurusan madrasah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber berkata, pada pertengahan April lalu sekali lagi pihak madrasah membuat keputusan membuang empat lagi pelajar bermasalah.

"Mangsa yakin mesej ugutan tersebut ada kaitan dengan kes lima pelajar itu sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya, kerana takut akan keselamatan dirinya pada masa akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian semalam.

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana mengugut bunuh.