Ahli perniagaan mati ditembak

Gambar hiasan (Gambar kecil: Abdul Jalil Hassan)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Abdul Jalil Hassan)
A
A
A

KUANTAN - Seorang warga emas berusia 63 tahun maut ditembak dalam sebuah kenderaan di Jalan Air Putih, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu, mangsa dipercayai baru pulang dari sebuah kelab malam di bandar ini bersama rakannya berusia 47 tahun.

Menurutnya, sampai di hadapan rumah sewa mereka, rakan mangsa keluar dari kenderaan dan ketika itu mangsa yang masih di dalam kereta ditembak.

"Namun sebaik mendengar tembakan rakan mangsa melarikan diri manakala mangsa sempat memandu kenderaan untuk mendapatkan bantuan, dipercayai hendak ke hospital.

"Mungkin mangsa tidak sempat memandu ke hospital dan berhenti berdekatan sebuah farmasi. Di situ orang ramai menemui mangsa dan memberikan pertolongan. Mangsa disahkan meninggal dunia di hospital dan bedah siasat akan dijalankan pada petang ini," katanya.

Abdul Jalil berkata, setakat ini pihak polis telah menahan rakan mangsa untuk siasatan.

"Kedua-dua mereka yang merupakan ahli perniagaan telah datang dari Johor Bahru atas urusan di Pahang.

"Kami akan meneliti setiap kemungkinan dari sudut kaitan rakannya dengan mangsa. Apakah ada elemen kongsi gelap, cemburu, pinjam duit atau sebagainya," katanya pada sidang media Perhimpunan Khas Ketua Polis Pahang Ogos 2019 di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat tampil menyalurkannya kepada polis.