Pemilik resort bantu cari gadis Ireland

Nora Anna Quoirin
Nora Anna Quoirin
A
A
A

SEREMBAN - Pemilik The Dusun Rainforest Resort akan terus membantu dan memberi kerjasama terhadap pencarian gadis Ireland yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu.

Pemiliknya, Hanim Ahmad Bamdhaj berkata, kejadian seperti ini pertama kali berlaku sejak resort itu beroperasi 30 tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, pihaknya sentiasa menekankan aspek keselamatan di resort itu bagi memastikan keselamatan tetamu yang berkunjung di situ.

“Saya akui tragedi ini menjejaskan resort tetapi kami juga akan terus membantu pihak berkuasa untuk mencari tetamu yang hilang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hanim berkata, semalam kakitangan mula mencari di kawasan resort seluas 4.85 hektar sebelum turut menyertai polis dalam usaha mencari di kawasan sekitar sehingga jam 3 pagi.

Menurutnya, pihaknya bersama kakitangan turut bekerjasama dengan polis bagi mencari remaja tersebut sebaik mungkin.

“Kami tahu keluarga mangsa dalam keadaan bimbang dan kami cuba membantu sedaya yang mampu. Kami juga sebenarnya bimbang dengan insiden ini dan amat berharap remaja itu dapat ditemui dalam keadaan selamat.

“Mereka yang tinggal berhampiran di kawasan ini diharap dapat turut sama bantu dalam operasi mencari dan memaklumkan sebarang maklumat berkaitan kehilangan remaja itu di Balai Polis Pantai secepat mungkin,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Di mana Nora Anne Quoririn?

Terdahulu, Nora Anna Quoirin, 15, tiba di negara ini bersama ibu bapanya dan dua lagi adik-beradiknya pada 3 Ogos lalu untuk bercuti selama dua minggu.

Kehilangan remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu disedari ahli keluarga di tempat mereka menginap di Perling House The Dusun Rainforest Resort kira-kira jam 8 pagi semalam.

Polis turut menambah keanggotaan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja warga Ireland itu.

Usaha mencari gadis tersebut kini diperluaskan dengan penambahan anggota keselamatan.