Cuepacs minta kerajaan semak semula gaji penjawat awam

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan memberikan pertimbangan untuk menyemak semula gaji penjawat awam di seluruh negara.

Timbalan Presidennya, Zainal Ismail berkata semakan semula gaji penjawat awam sepatutnya dilakukan setiap tiga tahun tetapi mengakui ia tidak dapat dilakukan selepas semakan terakhirnya pada 2012-2013 berikutan perubahan kerajaan pusat selepas pilihan raya umum lepas.

"Kerajaan hendaklah beri pertimbangan wajar terhadap semakan semula gaji ini, terutama kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan agensi penguatkuasaan yang merupakan barisan hadapan kepada perkhidmatan awam ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Pegawai Awam Polis Kontinjen Sarawak 2019 bersama Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Azman Yusof di Pustaka Negeri di sini hari ini.

Perhimpunan itu juga menyaksikan majlis pelancaran nama baru Kesatuan Pegawai Awam Polis Sarawak (KPAPS) yang telah dirasmikan oleh Azman Yusof ​​​​dan turut dihadiri Presiden KPAPS, Sapawi Hamdan.

Zainal berkata semakan semula gaji dan juga elaun penjawat awam terutama elaun wilayah dan elaun perumahan wilayah akan menjadi perhatian pihaknya pada perbincangan dengan kerajaan selepas ini.

"Cuepacs mohon perbincangan ini diadakan secepat mungkin. Kalau boleh dalam bajet akan datang ini (2020) ia diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya juga akan meminta kerajaan memberi kenaikan pangkat kepada penjawat awam biasa berasaskan "time base" iaitu selepas 10 tahun berkhidmat dan bukannya selepas 13 atau 15 tahun perkhidmatan yang dianggap terlalu lama.

Artikel Berkaitan:

"Sekurang-kurangnya penjawat awam yang akan bersara itu akan bersara dalam gred yang lebih tinggi.

"Selain itu, kita juga akan berbincang supaya pihak kerajaan memberi penekanan kepada penyelenggaraan dan menggantikan aset serta kemudahan di seluruh negara terutamanya di kuarters dan kenderaan di agensi yang sudah daif,” tambahnya. -Bernama