Tulisan jawi: TPM akan bincang semula dengan PM

Wan Azizah pada sidang media Pelancaran Pertandingan Video Kreatif Kempen Hentikan! Stop It! dan Soal Selidik Mengenai Gangguan Seksual di Putrajaya hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Wan Azizah pada sidang media Pelancaran Pertandingan Video Kreatif Kempen Hentikan! Stop It! dan Soal Selidik Mengenai Gangguan Seksual di Putrajaya hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan kerajaan untuk memperkenalkan tulisan jawi dan seni khat bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat akan dibincangkan semula dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memandangkan perkara ini telah membangkitkan keresahan sesetengah rakyat di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau akan mengadakan perbincangan sejurus perdana menteri pulang dari lawatan kerja ke Fukuoka, Jepun yang dijadualkan pada 6 hingga 8 Ogos ini.

“Saya ambil maklum pendapat orang ramai dan saya akan berbincang dengan perdana menteri walaupun beliau sudah keluarkan kenyataan... kita akan berjumpa.

“Perdana menteri akan berlepas ke Fukuoka, jadi kita akan bincang selepas beliau kembali ke tanah air kerana kita ambil maklum keresahan orang dalam isu ini,” katanya pada sidang media di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Presiden Pakatan Harapan (PH) menjelaskan, tulisan jawi dan khat adalah seni bukannya agama yang perlu dibimbangi.

“Kita akan lebih lanjut, tulisan jawi dan khat ialah salah satu cabang seni bukannya agama yang perlu digusarkan orang bukan Melayu,” ujarnya.

Pada 3 Ogos lalu, Dr Mahathir menegaskan, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat adalah kekal.

ARTIKEL BERKAITAN: Penggunaan khat, tulisan jawi di sekolah boleh diteruskan: PM

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan selama ini tidak pernah menghalang kaum lain untuk mengamalkan penulisan bahasa ibunda masing-masing, yang menjadikan negara ini istimewa.

Bagaimanapun, susulan daripada pengumuman Perdana Menteri itu muncul parti politik dan kumpulan yang membantah pelaksanaan yang bakal dimulakan tahun depan itu.

Dalam perkembangan berbeza, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melancarkan pertandingan video kreatif dan soal selidik mengenai gangguan seksual sempena kempen hentikan keganasan dan gangguan seksual 2019 sebagai langkah advokasi dan pengumpulan input daripada masyarakat umum.

“Bertemakan “Hentikan! Stop It!” pertandingan video kreatif ini bertujuan untuk menggalakkan penglibatan masyarakat dalam memahami bagaimanakah setiap individu memainkan peranan dalam mencegah sebarang bentuk keganasan, termasuk gangguan seksual.

“Kementerian berharap pertandingan ini akan memberi inspirasi kepada masyarakat terutamanya anak-anak muda untuk mencabar pemikiran dalam meningkatkan kesedaran tentang gangguan seksual secara efektif,” katanya.